Paul Low Seng Kuan
PUTRAJAYA - Mana-mana badan penyiasat di negara ini tidak perlu
mendapat keizinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahupun
kabinet untuk menyiasat sebarang kes.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan berkata,
badan-badan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), polis dan Bank
Negara Malaysia (BNM) tidak menerima arahan daripada Najib.
"Saya ingin ingatkan bahawa SPRM, polis juga BNM adalah mesti menjadi
sebuah badan yang bebas seperti termaktub dalam Perlembagaan. Jadi, jika
mereka mahu menjalankan sebarang siasatan terhadap skandal, mereka
tidak perlukan kebenaran daripada perdana menteri.
"Siasatan boleh dijalankan sama ada perdana menteri setuju atau tidak.
Siasatan mereka tidak diarahkan oleh perdana menteri atau kabinet.
Contohnya, saya juga tidak perlukan kebenaran perdana menteri untuk
siasat apa-apa," katanya pada sesi soal jawab dalam program Pengalaman
Negara dalam Berdepan dengan Pemerintahan dan Rasuah, Persidangan Anti
Rasuah Antarabangsa, (IACC) di sini, hari ini.
Sebelum itu, wakil ahli parlimen dari Kenya membangkitkan soalan untuk
Paul Low berhubung siasatan terhadap Najib berkaitan skandal yang
dilaporkan seluruh dunia.
Tegasnya, masalah dalam siasatan melibatkan skandal 1MDB adalah kebocoran dokumen.
"Jadi, kami ambil serius bawah Kanun Keseksaan bahawa apabila anda
jalankan siasatan, maklumat tidak boleh bocor. Sebab apabila bocor, ia
akan pengaruh integriti siasatan itu.
"Sistem perbankan kita dipelihara oleh undang-undang kerahsiaan
terhadap akaun peribadi. Contohnya, saya tidak suka akaun peribadi saya
didedahkan kepada sesiapa sahaja. Malah jika Gabenor Bank sebut apa-apa
tentang akaun saya, dia boleh masuk penjara," katanya.
Katanya, isu yang timbul bukan berkaitan skandal sebaliknya tentang integriti siasatan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.