Mustafar Ali
PUTRAJAYA - Kritikan delegasi luar di Persidangan Anti Rasuah Malaysia
(IACC) bahawa Malaysia dilanda krisis rasuah dibuat tanpa fakta yang
kukuh.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM), Datuk Mustafar Ali berkata, kebanyakan dakwaan peserta
luar hanya berdasarkan persepsi.
"Itu pandangan mereka tetapi kemungkinan mereka tidak mempunyai fakta.
Rasuah berlaku di mana-mana di seluruh dunia termasuk Malaysia dan kita
amat serius menanganinya.
"Tetapi rasuah bukan krisis besar di Malaysia, itu tidak benar," katanya dalam sidang media di IACC, di sini, semalam.
Dalam persidangan yang berlangsung selama tiga hari itu, Malaysia tidak
terlepas daripada menjadi sasaran kritikan peserta luar.
Antara yang lantang bersuara ialah Pengerusi Transparency International
(TI), Jose Ugaz yang mendakwa Malaysia berdepan krisis rasuah berikutan
isu kemasukan wang berjumlah RM2.6 bilion ke akaun peribadi Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mengulas lanjut, Mustafar berkata, dakwaan Jose itu tidak berasas kerana hanya mengambil satu kes sebagai contoh.
"Beliau hanya merujuk kepada seorang individu dan mengatakan korupsi sangat serius.
"Malah, ada juga peserta yang cuba membuat perbandingan dengan negara lain," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai penganjuran IACC kali ini, beliau
berkata, rata-rata reaksi peserta menyifatkannya antara yang terbaik.
Menurut beliau, hasil persidangan itu dirumuskan melalui Deklarasi
Putrajaya yang dipersetujui 1,200 peserta dari 130 negara dan akan
dihantar kepada Konvensyen Anti Rasuah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
"Antara rumusan deklarasi ialah untuk bersama-sama membanteras rasuah.
Intipati utama yang diketengahkan dalam persidangan adalah mengenai
tindakan tidak bekerja secara 'silo'.
"Setiap negara mesti bekerjasama dengan negara lain bagi menangani masalah rasuah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.