BERNAMA
FAM hari ini, mengumumkan Kim Swee sebagai pengganti Dollah Salleh.
KUALA LUMPUR, Pelantikan ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun negara, Datuk Ong Kim Swee menerajui pasukan kebangsaan menjadi tanda tanya terhadap kemampuannya menebus kembali maruah bola sepak negara yang tercalar.
Persoalan yang berlegar di fikiran banyak
pihak ialah sama ada Kim Swee, 45, mampu mengubah nasib Malaysia untuk
menempah slot ke pusingan akhir Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu
(UAE), yang turut bertindak sebagai pusingan kelayakan Piala Dunia 2018
di Rusia?
Bekas pemain kebangsaan era 90-an, Nizam
Jamil melihat pelantikan Kim Swee mampu memberi nafas baharu dalam corak
taktikal skuad negara, namun untuk mengubah nasib skuad negara layak ke
pusingan akhir Piala Asia 2019, agak sukar.
“Saya yakin dengan kemampuan Kim Swee
kerana beliau sebelum ini pernah mengendalikan sementara skuad
kebangsaan, selain mempunyai pengalaman luas dalam bidang kejurulatihan
terutama di peringkat bawah umur.
“Cuma yang menjadi isu ialah sikap
kebertanggungjawaban pemain kepada tugasan negara. Mereka harus sedar
apabila mewakili negara, ia satu penghormatan dan justeru itu, mereka
harus mengubah sikap dan mentaliti,” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, pengkritik sukan tanah
air, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berkata sikap pemain yang
mementingkan imbuhan semata-mata, berbanding berasa bangga mewakili
negara, akan menjadi ‘gunting dalam lipatan’ bagi Kim Swee untuk
membimbing skuad kebangsaan.
Katanya jika sikap itu masih ada dalam
diri pemain, ia boleh merencatkan kemajuan bola sepak negara, sekali gus
menyukarkan Malaysia untuk terus bersaing dengan gergasi bola sepak
Asia seperti Jepun, Korea Selatan, Arab Saudi, Qatar dan UAE.
Beliau berkata pemain bola sepak dahulu
yang ingin meneruskan kerjaya mereka dalam bidang itu perlu mempunyai
pekerjaan tetap untuk memperoleh pendapatan, memandangkan persatuan bola
sepak negeri hanya menyediakan elaun.
“Saya lihat perkara itu (bangga mewakili
negara), kini sudah tiada dalam kamus hidup atlet negara (termasuk
pemain bola sepak). Mereka (atlet sekarang) mudah mendapatkan penajaan
atau sumbangan bagi menyertai perlawanan persahabatan mahupun kejohanan
di luar negara.
“…sedangkan pada zaman dahulu, atlet
terpaksa bertungkus lumus mencari wang bagi menampung perbelanjaan
mereka sebelum beraksi di luar negara,” kata Khoo yang merupakan
Sejarawan Negara.
Kekalahan memalukan dibelasah 10-0 oleh
pasukan berada di ranking ke-70 dunia, UAE di Abu Dhabi pada perlawanan
kelayakan Piala Asia 2019, Khamis lepas, merupakan detik hitam dalam
bola sepak negara.
Ia adalah kekalahan terburuk skuad negara selepas dimalukan oleh New Zealand 8-2 pada aksi persahabatan pada 1967.
Susulan kekalahan itu, Dollah Salleh,
semalam mengumumkan perletakan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad
Harimau Malaya, dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini,
mengumumkan Kim Swee sebagai penggantinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.