Halaman

Sabtu, 5 September 2015

Pengkritik Bersih 4 perlu cermin muka sendiri



Oleh V Shuman


Perhimpunan Bersih 4 minggu lepas menyaksikan ribuan rakyat Malaysia berkumpul demi satu tujuan, dengan menyanyi dan bersorak bersama-sama. Ada juga yang sanggup meninggalkan keselesaan rumah mereka dengan tidur berlapikkan jalanraya.

Tiada perbezaan warna, darjat, agama mahupun kedudukan - hanya rakyat Malaysia yang kecewa dengan nasib negara hari ini dan mereka mendesak reformasi dilaksana.

Walaupun terdapat ramai anggota polis sebagai pemerhati, perhimpunan dua hari itu berakhir tanpa insiden tidak diingini.

Itu bagaimanapun tidak menghentikan golongan pentaksub muncul bagi memuntahkan segala macam kebencian.

Manusia sebegitu mendakwa Bersih 4 sebenarnya agenda "Cina" mencabar Melayu yang bakal mencetus rusuhan kaum seperti mana yang berlaku pada 13 Mei 1969.

Dakwaan tersebut menyebabkan Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar terpaksa menyuraikan suasana tegang.

Free Malaysia Today melaporkan Khalid menggesa individu tertentu yang marah dengan pehimpunan itu agar bertenang dan tidak menjadikannya isu perkauman.

"Apabila kita membincangkan isu yang bersifat perkauman, tentu terdapat kumpulan yang sensitif," kata beliau sebagai tindakbalas terhadap ancaman Ketua Pemuda Umno Kuala Lumpur Razlan Rafii yang mahu menggerakkan etnik Melayu berhimpun di jalanan sebagai tindakbalas terhadap Bersih 4. 

Khalid bagaimanapun mendesak penganjur menjelaskan mengapa peserta menggunakan penyapu sebagai lambang protes.

"Apa yang cuba disampaikan?"

Ini merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar Radin yang berkata aksi membawa penyapu tersebut serupa dengan yang ditonjolkan sebelum bermulanya rusuhan 13 Mei.

Bukankah itu tujuan perhimpunan Bersih, bagi membersih pilihanraya, tadbir urus dan sebagainya.

Tambahan pula peserta turut membersihkan bandaraya Kuala Lumpur lantas menjimatkan wang DBKL.

Bukankah penyapu merupakan simbol terbaik untuk tujuan itu?

Jadi mengapa Bersih 4 dikaitkan dengan bangsa dan agama?

Logik tentang ketiadaan ramai peserta berbangsa Melayu ialah kerana tiadanya PAS dalam perhimpunan kali ini, di samping ribuan penjawat awam yang kurang senang dengan keadaan hari ini tidak mampu turun menyokongnya.

Sukar dipercayai?

Lihat sahaja laman rasmi Facebook Perdana Menteri Najib Razak atau laman lain seperti Sukan Star TV serta Siakap Keli. Anda dapat lihat ramai pengguna Internet, terutama Melayu yang memberi pendapat pedas terhadap Najib dan keadaan negara hari ini.

Dan aksi Razlan menuduh peserta Bersih 4 kurang ajar seakan serupa dengan tindakan Adolf Hitler menggelar peserta perhimpunan sebagai pembunuh.

Razlan sememangnya terkenal dengan perangai gengster apabila memprotes DAP dalam insiden "Umno Celaka" tahun lepas.


Gambarnya bersongkok dengan baju tidak berbutang menjerit ke arah ahli parlimen Serdang Ong Kiang Ming masih dapat ditemui di Internet.
Jadi peserta Bersih yang biadap?

Bukannya penganjur yang menjemput 90% peserta Cina ke perhimpunan.
Penganjur menjemput semua rakyat Malaysia agar bersuara, tetapi peserta berbangsa Cina hadir dengan ramai sekali.

Berbanding Razlan, perhimpunan 'baju merah'nya yang bakal diadakan pada 16 Sept hanya melibatkan orang-orang Melayu sahaja.

Mengapa tidak dijemput peserta berbangsa Cina dan India dari MCA, MIC, Gerakan, PPP, Makkal Sakthi, dan sebagainya yang masih percaya dan menyokong Najib turut serta?

Siapa rasis di sini, Razlan?

Komen dan cadangan dapat disampaikan kepada penulis di shuman.v@hckmedia.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.