Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) itu undang-undang zalim. Kerajaan harus meminda semula undang-undang ini supaya kes-kes yang disiasat di bawah akta ini diberi peluang pembelaan kepada orang kena tangkap.
Apa guna kita ada Kanun Keseksaan dan undang-undang lain jika polis menggunakan jalan pintas untuk menangkap seseorang di bawah POCA.
Seseorang yang ditahan bawah POCA tidak akan didakwa di mahkamah. Orang yang kena tangkap boleh direman sehingga 60 hari. Siasatan akan dibuat oleh pegawai penyiasat dalam tempoh tahanan itu. Satu laporan disediakan oleh pegawai penyiasat.
Pendakwa raya akan mengadakan temubual dengan orang kena tangkap berdasarkan laporan yang disediakan oleh pegawai penyiasat. Orang kena tangkap tidak boleh diwakili oleh peguam untuk pembelaan. Cara ini tidak adil kerana nasib orang kena tangkap itu terletak di tangan pegawai penyiasat.
Saya cukup bimbang kerana polis boleh menyalahgunakan kuasa apabila menangkap seseorang di bawah undang-undang yang zalim ini. Saya juga risau pegawai-pegawai polis akan didorong oleh undang-undang ini untuk terlibat dengan gejala rasuah.
Saya telah bertanya soalan lisan kepada menteri dalam negeri berhubung perkara ini. Soalan saya berbunyi seperti berikut:
“...menyatakan jumlah kes yang ditangkap dan disiasat bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) sejak undang-undang itu dipinda pada 2013. Nyatakan juga jenis-jenis jenayah berat yang telah disiasat bawah akta ini dan tindakan-tindakan yang telah diambil.”
Jawapan Kementerian Dalam Negeri (pada 27 Oktober 2015):
“Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia, semenjak pindaan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dikuatkuasakan mulai 2 April 2014 hingga 1 Oktober 2015, seramai 975 orang telah ditangkap dan disiasat bawah POCA.
“Di antara jenayah berat yang telah disiasat bawah Akta ini adalah jenayah kongsi gelap, jenayah kekerasan, jenayah harta benda, dadah, pelacuran, perjudian dan penyeludupan migran.
“Seterusnya, tindakan-tindakan yang telah diambil terhadap mereka yang ditangkap adalah seramai 143 orang dikenakan Perintah Tahanan, 480 orang dikenakan Perintah Pengawasan Polis dengan 68 orang daripadanya dikenakan syarat pemakaian peranti pengawasan elektronik (EMD) yang mula digunapakai mulai 3 Ogos 2015, 28 orang telah dituduh di mahkamah, 131 orang telah dibebaskan selepas siasatan dijalankan, manakala baki seramai 193 orang masih lagi ditahan untuk siasatan lanjut.”
Daripada jawapan yang diberikan oleh timbalan menteri dalam negeri didapati seramai 975 orang telah ditangkap dan disiasat di bawah POCA.
Kerajaan telah menjanjikan bahawa hanya kes-kes yang berat akan disiasat bawah POCA. Tetapi, saya ada bukti bahawa kes-kes kecurian kecil juga ditangkap, disiasat dan diambil tindakan oleh polis.
Sebagai contoh, pada 2 Ogos 2015, seramai lapan orang ditangkap kerana terlibat dalam kes curi ikan dari kolam. Sama ada mereka benar-benar terlibat dalam kes ini tidak ada kepastian.
Enam orang ditangkap kerana mencuri ikan dari kolam milik orang lain. Dua orang lagi ditangkap kerana membeli ikan untuk dijual di pasar. Saya difahamkan tidak ada apa-apa laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak berhubung dengan kes ini.
Bagaimanapun, lapan orang itu ditahan reman untuk 21 hari dan kemudiannya ditambah lagi 38 hari.
Selepas siasatan dan temubual dengan pendakwaraya tanpa diberi ruangan untuk membela diri, tujuh orang yang kena tangkap itu dibuang daerah dan seorang dibuang negeri.
Kononnya, tindakan diambil berdasarkan risikan polis. Saya juga tidak faham kenapa polis begitu bersemangat untuk menyiasat kes curi ikan yang tidak ada sebarang laporan polis.
Sedangkan, terdapat banyak aduan dan laporan polis yang tidak diambil apa-apa tindakan. Kenapa kes curi ikan ini tidak disiasat bawah Kanun Keseksaan? Bukankah Kanun Keseksaan lebih relevan dan patut digunapakai bagi kes-kes seperti ini?
Saya berasa kasihan dan bersimpati terhadap keluarga orang-orang yang telah dihukum bawah POCA tanpa diberi peluang untuk membela diri.
Saya telah memohon jasa baik menteri dalam negeri untuk menyiasat kes yang saya bangkitkan secara teliti supaya orang yang tidak bersalah dihukum sewenang-wenangnya.
Jika bersalah pun, biarlah mahkamah mendengar kes tersebut dan menjatuhkan hukuman. Langkah ini penting untuk menjamin hak asasi dan berkeperimanusiaan.
* V Sivakumar adalah ahli parlimen DAP bagi Batu Gajah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.