Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran bimbang rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dibentangkan di Parlimen, semalam akan memberi kuasa yang berlebihan kepada perdana menteri serta membahayakan kebebasan awam.
Pemimpin PKR itu berkata, rang undang-undang yang akan dibahaskan di Dewan Rakyat itu adalah suatu perkara yang patut dirisaukan oleh semua rakyat..
Memetik fasal 18 (1) rang undang-undang, beliau berkata ia akan membolehkan perdana menteri untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan di negara ini sebagai "kawasan keselamatan".
Pasukan keselamatan, termasuk Angkatan Tentera, akan diberi kuasa yang mutlak dalam kawasan keselamatan.
Lebih menonjol betapa seriusnya perkara itu, Surendran berkata tidak ada had yang ditetapkan kepada saiz kawasan yang boleh diisytiharkan sebagai kawasan keselamatan.
"Sebahagian besar atau seluruh Malaysia boleh diisytiharkan sebagai kawasan keselamatan," katanya.
"Di samping itu, Perdana Menteri sendiri selama-lamanya boleh melanjutkan jangka masa enam bulan awal pengisytiharan kawasan keselamatan."
"Rang undang-undang itu memberi kuasa berlebihan di tangan perdana menteri. Ini tidak boleh diterima di bawah sistem demokrasi kita bahawa perdana menteri diberikan kuasa sedemikian."
Kerajaan, semalam membentangkan rang undang-undang itu, untuk memberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kuasa yang luas untuk menangani isu-isu keselamatan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.