shahbudindotcom
Sementara
kita terus ketawa dengan lawak jenaka Peguam Negara sejak pagi Selasa
dalam usahanya membersihkan nama Najib Razak berkaitan derma RM2,600
juta, penjelasan tentang dana RM42 juta daripada SRC International juga
tidak kurang membuatkan kita terbahak-bahak jadinya.
Najib
dibersihkan daripada isu berkaitan derma RM2,600 juta bukan saja kerana
tiada apa-apa imbuhan yang diminta, bahkan juga kerana sejumlah
RM2,030 juta lebihannya telah dipulangkan semula kepada keluarga Diraja
Arab Saudi yang dikenalpasti sebagai pendermanya.
Berkaitan dana RM42 juta daripada SRC International pula, penjelasan Peguam Negara, Apandi Ali ialah:-
-
tiada apa-apa keterangan yang boleh menunjukkan Perdana Menteri
mengetahui dan/atau dimaklumkan bahawa terdapat sebarang kemasukan wang
daripada akaun SRC International ke dalam akaun-akaun beliau;
-
tiada apa-ap keterangan yang boleh menunjukkan bahawa Perdana Menteri
memberi apa-apa kebenaran untuk pemindahan mana-mana wang daripada akaun
SRC International ke dalam akaun-akaun beliau;
-
keterangan menunjukkan bahawa pada masa-masa yang material, Perdana
Menteri mempercayai segala pembayaran yang dibuat oleh beliau adalah
dengan menggunakan wang sumbangan keluarga Diraja Arab Saudi yang telah
dipindahkan ke akaun-akaun beliau sebelum itu.
Dalam
bahasa yang mudah, ayat Apandi itu bermaksud bahawa Najib tidak
mengetahui mengenai kemasukan wang sebanyak RM42 juta itu, jauh sekali
memberi kebenaran wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.
Maka dengan itu, Najib dianggap tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah berkaitan wang RM42 juta itu.
Tidakkah ini satu lagi jenaka yang boleh membuatkan kita ketawa dengannya?
Lebih membuatkan kita ketawa jika persoalan-persoalan di bawah ini terus tergantung tanpa jawapan.
Pertama, siapakah memasukkan wang tersebut dan bagaimana mereka memperolehi nombor akaun bank peribadi Najib?
Kedua,
logikkah jika seseorang memasukkan wang sebesar RM42 juta jumlahnya,
tetapi tidak memberitahu atau memaklumkan langsung mengenainya kepada
penerima wang tersebut?
Ketiga, adakah sebagai Perdana Menteri, Najib betul-betul tidak pernah memberikan nombor akaun bank peribadinya kepada sesiapa?
Keempat, jika tidak pernah, bagaimana nombor akaun bank itu boleh diperolehi oleh orang lain?
Kelima,
adakah perkara biasa bagi Najib memberikan nombor akaun banknya
sehingga ia bukan lagi rahsia dan kemudian sesiapa saja boleh memasukkan
wang ke dalamnya?
Keenam, setelah mengetahui adanya dana RM42 juta dalam akaun peribadinya, apa yang Najib lakukan terhadap wang tersebut?
Adakah wang itu sudah habis dibelanjakan atau masih dalam simpanan lagi?
Kenapa
ia tidak dipulangkan semula kepada SRC International seperti yang
dilakukannya dalam sebahagian daripada wang derma RM2,600 juta kepada
keluarga Diraja Arab Saudi itu?
Dalam
pada itu, persoalan yang tidak kurang misterinya ialah mengapa dua
bekas pengarah SRC International, Nik Faisal Farid Kamil dan Suboh Md
Yassin melarikan diri ke luar negara sejak sekian lama?
Apa yang mereka takutkan? Adakah mereka mengetahui mengenai wang RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun Najib itu?
Adakah selepas kes ini ditutup, mereka akan terus berada di luar negara atau akan segera kembali ke dalam negara?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.