Halaman

Isnin, 4 Januari 2016

APA MAKNA BERITA INI?

shahbudindotcom


 
 
 
Mengikut laporan yang memetik kenyataan Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hasan, parti itu akan mengadakan taklimat khas Sabtu ini bagi menerangkan isu kerjasama dengan UMNO kepada para pemimpinnya.

Menurut beliau, taklimat itu akan disampaikan sendiri oleh Presiden Pas, Hadi Awang tetapi enggan mendedahkan lokasi dan waktu ia akan diadakan.

Katanya lagi, taklimat itu akan dihadiri pimpinan pusat, negeri dan wakil-wakil rakyat Pas serta memberi peluang kepada mereka yang keliru atau kurang jelas mengenai kerjasama dengan UMNO untuk bertanyakan soalan mengenainya.

Apakah makna berita ini?

Melalui berita ini pasti sukar untuk menafikan hakikat bahawa Pas, terutamanya Hadi Awang begitu teringin untuk menjalin hubungan dengan UMNO dan menyambut huluran tangan kerjasama yang dimulakan oleh Najib Razak.

Jika tidak ingin bekerjasama, sudah tentu Pas tidak akan mengadakan taklimatnya Sabtu ini dan memadai dengan mengeluarkan kenyataan media saja menolak pelawaan  untuk menjalinkan hubungan itu.

Maka, dengan sendirinya tutup bukulah isu kerjasama yang digembar-gemburkan itu.

Untuk menolak pelawaan atau kerjasama,  tidak logik pula jika Pas perlu mengadakan taklimat atau program khas mengenainya. Dengan kenyataan media saja pun sudah mencukupi.

Tetapi, dengan mengadakan taklimat kepada semua pimpinannya dan bersedia menjawab kekeliruan atau salah faham mengenainya, bermakna Hadi Awang sedang cuba meyakinkan orang lain dalam Pas mengenai hasrat yang terpendam dalam hatinya.

Sebab itulah taklimat tersebut diadakan dan Hadi Awang sendiri yang akan menyampaikannya.

Bagaimana agaknya dengan pendirian tiga pimpinan utama Pas iaitu Tuan Ibrahim Tuan Man, Idris Ahmad dan Iskandar Abd Samad dalam taklimat itu nanti?

Apakah mereka akan terus kekal dengan pendirian menolak kerjasama dengan UMNO itu?
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.