KUALA LUMPUR: Ibu tunggal, Nor Azimah Ibrahim yang hilang di Madinah,
pernah menghubungi kenalannya di Tanah Suci untuk mengetahui proses
perkahwinan dengan warga Arab Saudi atau rakyat Malaysia yang menetap di
sana.
Abdul Aziz Abas, yang kini menetap di Madinah mengikuti pengajian di
peringkat ijazah sarjana di Universiti Islam Madinah, berkata Nor Azimah
menghubunginya menerusi aplikasi WhatsApp bertanyakan perkara
berkenaan, beberapa hari sebelum dia dilaporkan hilang.
"Bila dia yang bercakap begitu, saya menjadi takut...sebab, nanti susah
pula saya nak kena uruskan kahwin...apa semua. Saya sibuk dengan
belajar, peperiksaan, buat tesis," katanya dipetik Bernama TV.
Abdul Aziz berkata Nor Azimah, 31, adalah kenalannya semasa menuntut di sebuah kolej di Malaysia.
Abdul Aziz berkata beliau kemudian meminta Nor Azimah menghubungi
isterinya untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung proses
perkahwinan itu.
"Saya kata pada Azimah untuk urusan lanjut hubungi isteri saya,"
katanya sambil menambah Nor Azimah kemudian tidak lagi menghubungi
beliau atau isterinya selepas itu.
Abdul Aziz berkata dia juga telah dipanggil memberi keterangan oleh pihak berkuasa Arab Saudi susulan kehilangan Nor Azimah.
Nor Azimah yang mempunyai seorang anak perempuan dan berasal dari
Seksyen 30, Shah Alam, Selangor, berlepas ke Tanah Suci bersama ibu
bapanya untuk mengerjakan umrah pada 11 Disember lepas.
Ibu mangsa, Zamhani Zakaria, 52, sebelum ini berkata kali terakhir dia bersama anaknya itu ialah pada 19 Disember.
Zamhani yang tiba di tanah air pada 23 Disember, berkata mereka
sekeluarga sepatutnya pulang ke Malaysia pada 22 Disember lepas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.