Mengharamkan vape hanya kerana berdasarkan fatwa adalah tidak berperlembagaan, kata seorang ahli jawatankuasa pusat DAP hari ini.
Datuk Teng Chang Khim yang juga adalah exco kerajaan Selangor, berkata ini kerana larangan itu akan mencabuli hak masyarakat bukan Islam.
"Semua kerajaan, persekutuan mahupun negeri, mempunyai kuasa masing-masing di bawah perlembagaan persekutuan dan negeri untuk menguatkuasakan undang-undang sivil dan undang-undang Islam.
"Bagaimanapun, menguatkuasakan undang-undang Islam, termasuk apa-apa keputusan oleh mana-mana jawatankuasa fatwa, sama ada oleh negara atau negeri pada semua rakyat tanpa mengira pegangan agama mereka, melanggar hak-hak sivil orang bukan Islam mengikut Perlembagaan Persekutuan," kata Teng dalam satu kenyataan.
Selain Melaka, vape setakat ini diharamkan di Johor, Negeri Sembilan dan Kedah.
Ini berikutan fatwa oleh Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa vape adalah haram.
"Saya tidak mempunyai masalah jika kerajaan Melaka berpendapat bahawa vape perlu diharamkan atas apa jua sebab.
"Tetapi untuk mewajarkan keputusan itu berdasarkan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan atau jawatankuasa fatwa negeri tidak boleh diterima oleh perlembagaan," kata Teng.
Kementerian Kesihatan sebelum ini mempertimbangkan mengharamkan vape di peringkat persekutuan tetapi kabinet memutuskan bahawa perkara itu perlu kajian lebih lanjut sebelum sebarang keputusan dibuat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.