| |
USTAZ ISRAN FAHMI ISMAIL
Rentetan kenyataan media Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Zuhdi Marzuki mengenai
hubungan DAP dengan Israel, PAS Kawasan Sungai Siput ingin menarik perhatian PAS Pusat untuk mengambil serius dalam hal ini.
Kenyataan tersebut sangat mengejutkan dan menggusarkan ahli-ahli di akar umbi khususnya di Selangor yang mana PAS masih mempunyai hubungan dengan DAP di dalam kerajaan negeri.
Kami sangat yakin, Zuhdi bersama pasukan penyelidikan PAS Pusat mempunyai bukti yang lengkap dan sahih dalam hal ini mendorong keyakinan untuk beliau membawa isu ini, bukan hanya bersandarkan kepada kenyataan bekas Pegawai Khas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, saudara Mohamed Razali Abd Rahman semata-mata.
Bagi kami, isu berkaitan Israel bukanlah perkara yang boleh diambil ringan dan PAS Pusat perlu mengeluarkan ketetapan untuk tidak mengadakan sebarang kerjasama dengan DAP yang dikatakan mempunyai hubungan dengan Israel seperti yang didedahkan oleh Zuhdi.
PAS Kawasan Sungai Siput amat bimbang dengan pendedahan yang dibuat oleh Dr Zuhdi berkaitan penglibatan Israel dalam urus tadbir di Pulau Pinang, dan tidak mahu ada penyusupan agen Israel di negeri Selangor pula.
Kami berpendirian senada dengan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang serta Muktamar PAS tempoh hari yang memutuskan untuk tiada lagi tahaluf siasi dengan DAP.
Maka, kami mendesak kepada kepimpinan PAS Pusat bertindak tegas dengan memutuskan komunikasi secara rasmi dengan DAP di Selangor serta memboikot apa jua portfolio dan kerjasama yang melibatkan DAP.
Walaupun ia adalah satu tindakan yang besar kerana PAS tidak lagi akan bersama di dalam kerajaan, tetapi kami merasakan ia bukanlah satu perkara yang sukar dilakukan kerana PAS telah membuktikannya di negeri Pulau Pinang.
Bagi kami, pengorbanan tesebut perlu dilakukan sebagai bantahan terhadap DAP dan solidariti kepada rakyat Palestin. Kami tidak mahu seolah-olah PAS bersekongkol dengan DAP yang dikatakan mempunyai hubungan dengan Israel.
Pihak kami juga mengambil kesempatan untuk berterima kasih kepada Pesuruhjaya PAS Perak, Haji Razman kerana saban hari bertegas dengan DAP dan sama sekali tidak akan berkerjasama dengan parti itu di Perak.
Beristiqamah Hingga Kemenangan
(*) USTAZ ISRAN FAHMI ISMAIL,Yang Dipertua, PAS Kawasan Sungai Siput
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.