Halaman

Sabtu, 2 Januari 2016

Indira: Islam tidak berjaya jika keadilan tak terlaksana

 
Naib Presiden Amanah berpendapat aspek moral seperti belas kasihan dan kasih sayang juga perlu dipertimbangkan, disamping aspek perundangan


Mujahid-rawa


PETALING JAYA: Keputusan kes M Indira Gandhi pada Rabu tidak boleh dilihat sebagai kejayaan buat Islam sekiranya keadilan tidak terlaksana, kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Menjawab kenyataan Pemuda PAS yang beranggapan keputusan kes itu merupakan kejayaan buat Islam, Mujahid, yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar menyangkal penafsiran yang dianggap sebagai terlalu simplistik itu.

“Saya menghormati keputusan mahkamah, tetapi isu ini melangkaui undang-undang, dan latar-belakang kes-kes seperti itu,” katanya kepada FMT.

Pada Rabu, Mahkamah Rayuan menterbalikkan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang membatalkan penukaran agama tiga anak Indira ke agama Islam oleh bekas suaminya.

“Walaupun dalam konteks undang-undang Islamik berkenaan hak penjagaan anak sekiranya si ibu atau bapa menukar agama, isu moral seperti belas kasihan dan kasih sayang turut diberi perhatian.

“Kita harus melihat perkara ini dari aspek moral, adakah keputusan mahkamah memastikan keadilan terlaksana untuk semua pihak? Keadilan amat penting dalam Islam.”

Beliau menjelaskan sekalipun kes itu dibicarakan di Mahkamah Syariah, sebarang keputusan tidak boleh dianggap “Islamik” sekiranya keadilan terbatal.

Maka, Mujahid menegaskan, kes itu tidak boleh dianggap sebagai kejayaan untuk Islam sekiranya keadilan tidak mengatasi yang lain-lain.

Katanya, semua aspek dalam kes itu perlu dipertimbangkan sekiranya berlaku konflik antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil, dan bukannya melihat dari sudut pandang perundangan semata-mata.

Sementara itu, bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim berkata kes itu tiada kaitan dengan agama.

“Mahkamah adalah untuk menentukan hak individu, seperti dalam kes (kalimah) Allah,” hujahnya, yang berpendapat kes itu bukan mengenai semata-mata tetapi samada penganut Katolik boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka atau tidak.

Zaid berkata kes Indira menyentuh soal individu, maka pihak yang mendakwa ia sebagai kemenangan untuk Islam adalah kurang cerdik.

Meskipun beliau memahami bahawa pihak tertentu cenderung beremosi dalam kes-kes seperti itu, Zaid berkata ahli politik harus bersikap wajar.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Khalil Abdul Hadi berkata keputusan Mahkamah Rayuan merupakan kejayaan untuk Islam.

Sayap pemuda parti Islam itu juga mahu keputusan mahkamah itu menjadi peringatan buat golongan liberal yang mahu mencabar kesucian Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.