Kerajaan Pahang dalam menjaga kepentingan rakyat daripada kerakusan pengusaha bauksit
PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Pahang pimpinan Datuk Seri Adnan Yaakob didakwa lebih mementingkan pengusaha bauksit berbanding kepentingan rakyat.
Perkara itu ditegaskan, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Khairuddin Aman Razali apabila kerajaan gagal menyelesaikan isu tersebut sehingga menjejaskan kehidupan rakyat di Pahang.
“Isu bauksit adalah isu kegagalan kerajaan menjaga kepentingan rakyat daripada kerakusan pengusaha bauksit. Keuntungan yang diperolehi oleh jutawan bauksit adalah dengan mengorbankan hak rakyat.
“Segala kehilangan nikmat tersebut tidak boleh ditampung oleh duit. Kerajaan telah gagal menjadi kerajaan bertanggungjawab dan yang jelas mereka hanya menjadi kerajaan kepada golongan peniaga yang rakus bukan kerajaan untuk rakyat,” katanya kepada FMT pada Ahad.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, sekiranya kerajaan Pahang gagal menyelesaikan isu tersebut dengan menghentikan aktiviti perlombongan, rakyat akan menghukumnya dengan menggulingkan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Hanya peti undi penyelesaian bagi isu ini. Sampai masa rakyat menolak sepenuhnya kerajaan BN Pahang yang gagal bertanggungjawab terhadap rakyat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.