Halaman

Selasa, 5 Januari 2016

Mustapa: TPPA tak jejas hak kontraktor bumiputera

MALAYSIAKINI


 


Hak kontraktor bumiputera akan terus dipertahankan sekiranya Malaysia bersetuju memeterai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), tegas Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Ketika menegaskan pendirian itu, menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata kerajaan tetap akan mengekalkan serta mempertahankan dasar kepentingan 30 peratus kontrak bumiputera dalam pemerolehan kontrak kerajaan.

Dalam teks TPPA mengenai aspek pemerolehan kerajaan, jelas menyatakan bahawa 30 peratus diperuntukkan untuk kontraktor bumiputera yang tendernya turut dibuka kepada negara anggota TPP.

"(Sehubungan itu) kontraktor bumiputera boleh meneruskan projek mereka, termasuklah dalam pembinaan sekolah, klinik dan hospital," katanya dalam program Dialog Khas 'Pencerahan TPPA' yang disiarkan di RTM, malam tadi.

Mustapa berkata demikian bagi mengulas kebimbangan kontraktor bumiputera bahawa kepentingan serta hak mereka akan terjejas berikutan kehadiran kontraktor dari luar negara, khususnya daripada kalangan negara anggota TPPA berkenaan.

Selain itu, beliau berkata, walaupun teks perjanjian TPPA diagihkan kepada umum pada 5 November 2015, kerajaan akan terus melaksanakan usaha pencerahan mengenai TPPA kepada rakyat.

Menurutnya, pada peringkat awalnya, terdapat pelbagai andaian meleset mengenai TPPA termasuk tuduhan bahawa kerajaan tidak lagi dapat melaksanakan dasar memperkasakan (agenda) bumiputera serta dakwaan bahawa pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak dapat mempertahankan peraturan mengenai keperluan logo halal.

Mustafa berkata, TPPA akan memberikan lebih banyak faedah kepada orang ramai berbanding cabaran.

Katanya kerajaan telah menganalisis impak perjanjian berkenaan dan akan terus memberi penjelasan kepada semua lapisan masyarakat agar mereka memahami perjanjian itu sepenuhnya.

"Kementerian telah mengadakan pelbagai dialog khas di beberapa sesi di mana saya sendiri telah turun padang," kata beliau di dalam dialog khas di RTM bertajuk 'Pencerahan TPPA'.

Mustapa menegaskan bahawa kerajaan tidak akan sama sekali mengambil keputusan tergesa-gesa.

"Dalam mengambil apa-apa keputusan, kerajaan akan mengambil kira kebaikan dan keburukan sesuatu dasar itu," kata beliau.

Antara lain, kerajaan telah membuat dua analisis kos dan faedah melalui PwC Malaysia dan Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa Malaysia.

"Walaupun kerajaan mengiktiraf terdapat kos yang akan ditanggung, tetapi manfaatnya melebihi kos.

"Tidak dinafikan terdapat beberapa cabaran perlu ditangani jika kita menyertai TPPA, tetapi kerajaan berpendapat secara keseluruhannya Malaysia mendapat manfaat daripada penyertaan ini," katanya.

Menurutnya, jika Malaysia memutuskan untuk menjadi anggota TPPA, kemasukannya hanya dijangka pada awal 2018.

Negara TPPA, iaitu Australia, Amerika Syarikat, New Zealand, Kanada, Mexico, Peru, Chile, Brunei, Singapura, Jepun, Vietnam dan Malaysia menyumbang hampir 40 peratus keluaran dalam negara kasar dunia serta satu pertiga perdagangan global.

Menurutnya, penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) bukan satu-satunya penyelesaian dalam mengurangkan perbezaan jurang pendapatan di negara ini.

Katanya, penyertaan dalam TPPA hanyalah sebahagian daripada dasar kerajaan untuk mengurangkan perbezaan jurang pendapatan dalam negara dan perjanjian itu bukan satu penyelesaian menyeluruh.

"Kita mempunyai pelbagai lagi dasar untuk mengurangkan jurang perbezaan ini termasuk dasar membasmi kemiskinan, MEB (Model Ekonomi Baharu) dan banyak lagi dasar-dasar lain.

"TPPA bukanlah penyelesaian kepada masalah itu," katanya sebagai menjawab pertanyaan mengenai sama ada penyertaan negara dalam TPPA dapat menyelesaikan jurang perbezaan pendapatan dalam negara.

Sejajar dengan hasrat menyertai TPPA, beliau juga menekankan usaha kerajaan dalam membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) meningkatkan keupayaan mereka agar dapat bersaing dan berniaga di peringkat global.

Beliau turut berpuas hati dengan usaha gigih pelbagai agensi kerajaan dalam memberikan penerangan kepada umum mengenai TPPA.

Rundingan TPPA yang dilancarkan pada 2005, melibatkan 12 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Dokumen akhir TPPA serta dua hasil kajian analisis kos faedah oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa serta PricewaterhouseCoopers Malaysia didedahkan kepada umum awal Disember lalu.

TPPA akan dibentang dan dibahaskan mengikut peraturan biasa persidangan Parlimen, iaitu di Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Pembentangannya akan bermula 26 Januari nanti.- Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.