BERNAMA
Pelaksanaan rebat Cukai
Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada pengguna perkhidmatan prabayar
telefon mudah alih mendapat reaksi positif orang ramai yang menyifatkan
langkah itu sebagai hadiah tahun baharu. Foto hiasan TRP
KUALA LUMPUR, Pelaksanaan rebat Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada pengguna perkhidmatan prabayar telefon mudah alih mendapat reaksi positif orang ramai yang menyifatkan langkah itu sebagai hadiah tahun baharu.
Berkongsi kegembiraan adalah pekedai
runcit, Mohd Adam Mohd Rusly, yang percaya langkah yang diambil kerajaan
dan syarikat telekomunikasi itu adalah keputusan yang sangat
dinanti-nantikan pengguna.
“Saya sungguh gembira dan amat bersyukur
kerana pelaksanaan rebat ini membantu saya mengurangkan perbelanjaan dan
menjimatkan wang.
“Ini benar-benar membuktikan mereka prihatin dengan kesejahteraan kami,” katanya.
Turut sependapat dengan Mohd Adam ialah
pelajar A-Level Tan Li Ann, 18, yang berkata dengan adanya rebat itu,
dia kini boleh menikmati penggunaan maksimum yang ditawarkan penyedia
perkhidmatan prabayar telefon bimbit.
“Sebagai
pelajar, penggunaan telefon amat penting sebab kami sentiasa memerlukan
maklumat dan semestinyalah kami merasai bebanan apabila GST dikenakan
bagi kad prabayar,” kata Tan.
Sejajar dengan pengumuman kerajaan semasa
pembentangan Bajet 2016 pada Oktober lepas, syarikat telekomunikasi
akan memberi rebat selama setahun sepanjang 2016, kepada pengguna
prabayar individu yang merupakan warganegara Malaysia.
Rebat bersamaan dengan jumlah GST itu
akan dikredit terus ke dalam akaun prabayar mereka, berkuat kuasa 1 Jan
hingga 31 Dis 2016.
Di KELANTAN, pekerja swasta di Kota
Bharu, Rosmizan Rosdi, 26, berkata dia mempunyai lebih waktu untuk
berbual dengan keluarganya dengan nilai kad prabayar dikembalikan kepada
pengguna dan pemberian rebat itu menepati pada masanya bagi membantu
mengurangkan kenaikan kos hidup kini.
“Saya memperuntukkan sebanyak RM50 untuk
pembelian kad prabayar pada setiap bulan. Sebanyak RM36 digunakan untuk
melanggan data jalur lebar, manakala baki digunakan untuk menghubungi
keluarga dan rakan-rakan,” katanya.
Rakannya Nurul Akmal Aida Sohaimi, 26,
berkata kerajaan perlu mengekalkan pembayaran rebat berkenaan dan tidak
hanya menguatkuasakannya selama satu tahun kerana penggunaan telefon
bimbit merupakan keperluan kepada masyarakat terutama golongan belia
kini.
Di JOHOR, seorang peniaga kedai makan di
Parit Jawa di Muar, Salmah Omar, 55, menyambut baik keputusan kerajaan
memberi rebat itu dengan berkata: “Ini membuktikan bahawa kerajaan
prihatin dengan beban yang terpaksa dipikul oleh rakyat akibat kenaikan
kos sara hidup sejak kebelakangan ini.”
Di PULAU PINANG, peniaga ikan, Yushezri
Mohd Yusof, 31, berkata langkah itu menunjukkan kerajaan mendengar
rintihan dan luahan rakyat dalam menangani kenaikan kos sara hidup.
“Sekarang ini rakyat menanggung beban kos
sara hidup yang semakin meningkat saban hari. Langkah kerajaan
melaksanakan pemberian rebat GST kad prabayar ini sedikit sebanyak
membantu kami yang berpendapatan rendah ini,” katanya.
Pengusaha kedai alat telekomunikasi di
Jalan Datuk Keramat, Abdul Jabar Ibrahim Shah, 43, berkata pelaksanaan
pemberian rebat itu tidak akan menjejaskan perniagaan para pengusaha kad
prabayar.
Di KEDAH, Presiden Majlis Belia Kedah
Mohd Aizad Roslan mengalu-alukan pemberian rebat prabayar tersebut dan
mencadangkan agar ia diperkenalkan pula kepada pelanggan pascabayar bagi
memberi kemudahan sama rata.
Kakitangan swasta, Siti Ramlah Shahiran,
39, berkata kerajaan telah menunaikan janji mereka dengan memulangkan
kembali CBP yang dikenakan kepada pengguna kad prabayar sebelum ini.
“Perkara ini amat baik dan saya berterima
kasih kepada kerajaan kerana prihatin dengan beban yang dihadapi rakyat
pada hari ini,” katanya.
Di IPOH, penjawat awam Norbaity Ahmad,
30, berkata kerajaan prihatin terhadap kesusahan rakyat terutama yang
berpendapatan rendah dengan melaksanakan pemberian rebat GST.
“Golongan berpendapatan rendah rasa sedih
apabila GST dikenakan terhadap kad prabayar kerana semua menggunakan
telefon bimbit untuk berhubung. Namun hari ini saya bersyukur apabila
kerajaan memberi rebat kepada kami,” katanya.
Sementara itu, Asliza Musa, 30, berkata
langkah ini merupakan sesuatu yang baik dan melegakan pelanggan terutama
yang kerap menambah kad tambah nilai prabayar.
Seorang guru, Mohamad Amar Yahya, 33,
berkata langkah yang kerajaan laksanakan ini amat bertepatan
memandangkan kos sara hidup kini semakin meningkat.
“Terima kasih PM (Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak) kerana memberi rebat GST kepada pengguna prabayar.
Saya harap lepas ini kerajaan mengumumkan lebih banyak perkara yang
dapat meringankan beban rakyat termasuk menghapuskan GST bagi barangan
keperluan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.