Selepas
1MDB menjual keseluruhan segmen tenaganya, Edra Energy dan kemudian 60
peratus Bandar Malaysia, kedua-duanya kepada syarikat daripada negara
China demi untuk melangsaikan hutang RM42 bilionnya, satu-satunya aset
yang tinggal bagi syarikat itu ialah tanah TRX seluas kira-kira 70 ekar
di Jalan Imbi, Kuala Lumpur.
Edra
Energy dijual dengan harga tunai sebanyak RM9.83 bilion, selain pembeli
bersetuju menanggung semua hutangnya. Dilaporkan jualan itu akan
mengurangkan hutang 1MDB antara RM16 bilion hingga RM18 bilion.
60
peratus kepentingan dalam Bandar Malaysia pula dijual dengan harga
RM7.41 bilion. Lebihan 40 peratus lagi yang masih milik 1MDB,
sebagaimana disebut oleh Arul Kanda semalam, sedang dalam pertimbangan
untuk dipindahmilik kepada Kementerian Kewangan.
Bermakna,
kemungkinannya dijual juga baki 40 peratus Bandar Malaysia itu. Cuma
apabila ianya dijual daripada 1MDB kepada Kementerian Kewangan, ia tidak
lebih umpama memindahkannya daripada tangan kanan Najib kepada tangan
kirinya.
Ini kerana 1MDB diketuai Najib selaku Pengerusi Lembaga Penasihatnya, manakala Kementerian Kewangan juga diterajui olehnya.
Dengan
40 peratus Bandar Malaysia itu dipindahkan kepada Kementerian Kewangan,
secara tidak langsung duit rakyat turut digunakan untuk melangsaikan
sebahagian hutang induk 1MDB.
Jika
penjualan kepada Kementerian Kewangan itu menjadi kenyataan nanti,
ertinya lupuslah seluruh kepentingan 1MDB dalam Bandar Malaysia yang
luasnya hampir 500 ekar itu.
Sebagaimana Edra Energy, akhirnya Bandar Malaysia juga tiada kaitan lagi dengan 1MDB.
Maka,
yang tinggal hanyalah tanah TRX saja lagi. Tetapi tanah juga ketika ini
sedang dipecah-pecahkan lotnya untuk dijual bagi memperolehi wang.
Mungkin sebahagiannya turut terlepas ke tangan syarikat negara asing
kerana yang dikejar oleh 1MDB ketika ini ialah wang.
Berikutan
penurunan nilai ringgit dan hanya syarikat asing yang mempunyai banyak
wang, sudah tentu potensi mereka memiliki sebahagian besar tanah TRX
adalah juga tinggi.
Dengan
menjual demi menjual harta yang dimiliki, hakikatnya tiada apa lagi
yang tinggal dalam tangan 1MDB. Tidak seperti kebanyakan syarikat
perniagaan yang membayar hutang melalui keuntungan perniagaan yang
dijalankan, 1MDB sebaliknya melangsaikan hutang dengan cara menjual satu
demi harta miliknya sendiri.
Persoalannya,
apakah perniagaan 1MDB selepas ini? Edra sudah dijual, Bandar Malaysia
sudah dijual 60 peratus dan mungkin dijual sepenuhnya tidak lama lagi.
Tanah TRX pula dalam proses yang sama.
Apakah bidang baru atau pelaburan yang akan diceburinya selepas ini?
Adakah
tanah dan aset kerajaan yang lain pula akan diserahkan oleh Najib
kepada 1MDB selepas ini untuk memastikan syarikat itu terus bernyawa dan
ada perniagaan yang hendak dijalankannya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.