Halaman

Jumaat, 19 Februari 2016

1.5 juta Bangladesh: Peluang rakyat rebut peluang

Irmohizam Ibrahim
Irmohizam Ibrahim 
 
 
SHAH ALAM - Presiden Majlis Belia Selangor,Datuk Irmohizam Ibrahim menyifatkan rakyat negara ini khususnya golongan belia harus merebut peluang yang ada susulan pengumuman kerajaan tentang pembekuan pengambilan pekerja asing termasuk dari Bangladesh bagi memenuhi kekosongan di pelbagai sektor.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, rakyat perlu menghindarkan pemikiran terlalu memilih pekerjaan.

“Pihak majikan pula disarankan mengutamakan pekerja tempatan serta mengkaji semula skim gaji dan faedah tertentu bagi menarik rakyat tempatan bekerja di sektor-sektor yang dimonopoli oleh golongan pekerja asing.

“Keterbukaan majikan swasta dalam mengutamakan rakyat tempatan adalah satu usaha murni serta menunjukkan bahawasanya Malaysia boleh membangun dan menjadi sebuah negara maju tanpa mengimport pekerja asing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pembekuan pengambilan itu berkuat kuasa serta-merta sementara kerajaan mengkaji semula program levi dua peringkat untuk pekerja asing.

Dalam pada itu, Irmohizam menyifatkan penangguhan pengambilan pekerja asing itu langkah yang sangat proaktif dan menunjukkan kerajaan mendengar denyut nadi rakyat serta ingin melihat masa depan generasi muda terbela dalam sektor pekerjaan.

“Penangguhan ini seterusnya dapat memberi peluang kepada kerajaan untuk mengkaji semula secara serius sistem levi dua kategori. Penangguhan ini juga boleh mengekang pendatang asing dari terus menerima subsidi kerajaan yang telah dikhususkan untuk rakyat Malaysia.

“Pujian harus diberikan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid kerana beliau mendengar suara rakyat terutamanya belia yang dikatakan tidak bersetuju kerajaan mengimport pekerja Bangladesh. Tidak akan ada lagi rungutan dengan beralaskan tidak ada pekerjaan yang sesuai. Rakyat tempatan terutamanya seharusnya tidak memilih pekerjaan dgn pengumuman oleh TPM ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.