Halaman

Sabtu, 20 Februari 2016

Azalina: Pihak asing guna pintu belakang untuk jatuhkan PM

MALAYSIAKINI




Serangan yang bertali arus terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak menunjukkan adanya "pihak asing" yang ingin campur tangan dalam pentadbiran negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

"Mungkin ada pihak dalam dan luar negara yang cuba menggunakan pintu belakang untuk menjatuhkan perdana menteri yang telah dipilih secara demokratik oleh rakyat

"Serangan bertali arus ke atas perdana menteri ini menunjukkan adanya pihak asing yang ingin campur tangan dalam pentadbiran negara hari ini.," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pihak terbabit, katanya, dilihat terdesak sehingga terpaksa melakukan serangan peribadi terhadap Najib.

Beliau memetik dakwaan yang dibuat oleh editor kewangan The Wall Street Journal (WSJ), Ken Brown, baru-baru ini yang menyangkal dakwaan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali bahawa RM2.6 bilion dalam akaun Najib adalah sumbangan dari keluarga diraja Saudi.

Menurut Azalina, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara telah membuat keputusan bahawa wang yang terdapat di akaun bank peribadi perdana menteri tidak datang dari 1MDB.

Malah, tegasnya, Pejabat Peguam Negara Switzerland juga telah mengesahkan bahawa Najib bukan antara individu yang disiasatnya berhubung 1MDB.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga telah menjelaskan isu itu di sidang Dewan Rakyat pada 3 Disember tahun lalu, kata Azalina lagi.

"Perkara itu telah jelas, jadi seharusnya semua pihak termasuk WSJ tidak memainkan isu ini lagi.

"WSJ dilihat mempunyai kepentingan peribadi apabila berulang kali memainkan isu yang sama," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.