Halaman

Jumaat, 19 Februari 2016

Bersyukur, Azmi mahu semua dibebaskan tuduhan Akta Hasutan



Walaupun Dr Azmi Sharom gembira kesnya berakhir, beliau tidak dapat meraikan sepenuhnya sehingga orang lain yang dikenakan Akta Hasutan juga dibebaskan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 19 Februari, 2016.Walaupun Dr Azmi Sharom gembira kesnya berakhir, beliau tidak dapat meraikan sepenuhnya sehingga orang lain yang dikenakan Akta Hasutan juga dibebaskan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli. 
 
 
Selepas dilepaskan dan dibebaskan daripada tuduhan hasutan, profesor undang-undang Dr Azmi Sharom berjanji untuk terus bersuara dan membuat komen kepada umum sebagaimana yang difikirkannya patut.

"Saya tidak pernah berhenti dan saya tidak fikir saya pernah berkata apa-apa yang menghasut.
"Saya sentiasa berhati-hati dan saya akan terus melakukan apa yang saya sudah lakukan selama ini.

"Saya tidak nampak sebarang sebab untuk berhenti," katanya ketika ditanya sama ada beliau akan terus membuat komen seperti yang menyebabkan beliau dikenakan tuduhan mengikut Akta Hasutan. Pada 2 September 2014, Azmi didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) dan Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan di atas komen beliau dalam satu artikel bertajuk "Pakatan disaran jadikan krisis Perak pengakhiran segera kebuntuan Selangor" yang disiarkan dalam sebuah portal berita.

Beliau dilepaskan dan dibebaskan hari ini selepas Pejabat Peguam Negara mengumumkan pada 12 Februari mereka menggugurkan kes terhadap Azmi.

Azmi, bagaimanapun berkata, walaupun gembira kes itu berakhir, beliau tidak dapat meraikan sepenuhnya sehingga orang lain didakwa menghasut sepertinya juga dibebaskan.

"Adalah sukar untuk meraikan sepenuhnya kerana ada orang lain yang didakwa di bawah undang-undang ini atau menjalani perbicaraan.

"Saya selalu berkata ia bukan satu undang-undang yang baik.

"Kita tidak boleh benar-benar gembira sehingga semua orang bebas," katanya.

Peguam Azmi, Gobind Singh Deo yang hadir bersama peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar, memuji keputusan hakim Amernudin Ahmad kerana menggunakan budi bicaranya untuk membebaskan dan melepaskan profesor undang-undang itu hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Ezrene Zakariah sebelum ini meminta pelepasan tetapi tidak kepada pembebasan.

"Kami mengalu-alukan keputusan untuk membebaskannya, jadi semuanya sudah berakhir," kata Gobind selepas prosiding mahkamah.

Gobind juga mengalu-alukan keputusan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk menarik balik pertuduhan terhadap Azmi, berkata  ia adalah satu langkah ke arah yang betul.

"Pendirian kami sentiasa tetap iaitu Akta Hasutan perlu dimansuhkan.

"Dan peguam negara yang baharu memulakan satu proses baharu dengan menimbang semula tuduhan di bawah Akta Hasutan dan itu adalah satu langkah ke arah yang betul.

"Begitu juga, kita rasa beliau harus menarik balik semua tuduhan hasutan yang belum selesai; Akta Hasutan sudah lapuk dan tiada sesiapa yang patut didakwa atas kesalahan itu, "kata Gobind.

Pada Rabu, kurang daripada seminggu selepas pertuduhan terhadap Azmi ditarik balik, Jabatan Peguam Negara menggugurkan tuduhan hasutan terhadap Pengerusi PKR Johor Hassan Karim.

Pada 20 November tahun lepas Jabatan Peguam Negara menarik balik pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok yang didakwa mengikut Akta Hasutan disebabkan klip video disiarkan sempena Tahun Baru Cina 2 tahun lalu.

Tiada sebab diberikan pihak pendakwaan mengenai perkara itu.

Kok yang juga naib pengerusi DAP mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 6 Mei 2014 terhadap pertuduhan menghasilkan klip video berbaur hasutan bertajuk "Teresa Kok Onederful Malaysia CNY 2014", sempena Tahun Baru Cina pada Februari tahun itu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.