Halaman

Isnin, 15 Februari 2016

Bukan surat Umno yang jemput Haron Din masuk MPI

Idris Ahmad  




ULASAN Kenapa kalut sangat apabila tokoh ulama PAS berada di dalam Majlis Perundingan Islam (MPI) yang dipengerusi oleh Datuk Seri Zahid Hamidi? Adakah dijemput atas surat setiausaha agung Umno?

Bukan perkara baru Datuk Dr Harun Din menganggotai jawatankuasa kerajaan.

Walaupun menjadi calon PAS dan anggota Majlis Syura, beliau pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Perlis. Adakah satu penghinaan, sedangkan yang menjadi pengerusi Majlis Fatwa Negeri ialah mufti.

Walaupun beliau pemimpin PAS, tetapi beliau lebih dilihat seorang ilmuwan agama yang dihormati daripada kawan dan lawan. Beliau seorang yang cukup dihormati juga di kalangan istana.

Ramai tokoh-tokoh korporat rapat dengan beliau sejak dahulu hingga sekarang.

Mungkin ini pendekatan beliau dalam berdakwah, yang pemimpin PAS tidak boleh lakukan.

Pelik juga orang yang menuduh macam-macam kepada beliau, kerana rapat dengan orang atasan.

Adakah salah?

Adakah beliau tidak berkawan dengan anggota PAS bawahan dan rakyat biasa? Adakah beliau tidak menerima jemputan orang ramai untuk menyampaikan kuliah.

Berapa banyak sumbangan beliau kepada masyarakat awam melalui perubatan syifa. Adakah salah?
Jemputan kerajaan, bukan parti

Mereka yang fitnah beliau, berapa ramai pula masyarakat bertemu dengan mereka untuk berdoa kepada Allah supaya menyembuhkan penyakit.

Saya pun pelik mereka marah kepada PAS bila ada kalangan pemimpin PAS menerima jemputan kerajaan, bukan parti.

Ketika tuan guru presiden hadir dalam multaqa alumi mahasiswa Timur Tengah, bercakap benar dan menasihat pemimpin negara, bukan minta projek, dituduh pula sudah bersama Umno, kerana baju sedondon.



PAS dituduh berfikiran IS dan radikal. Tetapi apabila PAS menyertai program anjuran kerajaan dituduh mengukuhkan Umno.

Kalau PAS ini IS, sudah tentu Pas tidak akan hadir dalam program kerajaan.

Bukankah PAS mengambil pendekatan "muwajahah silmiah" untuk menggunakan pelbagai platfom untuk menarik sokongan.

Ada di kalangan anggota PAS bersama NGO, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), persatuan penduduk, jawatankuasa masjid, surau dan badan kebajikan di pejabat kerajaan.

Semuanya berperanan, walau pun jawatankuasa tersebut bercampur dengan ahli Umno. Apa yang penting pengaruh dakwah dan fikrah perjuangan dapat disampaikan.

Yang betulnya apa? 

Mana-mana anggota PAS yang berada di mana-mana posisi kena berperanan, syaratnya jangan masuk Umno.

Sekolah PAS turut mengambil aliran perdana sebagai silibus pengajian adakah bererti PAS mengukuhkan Umno?

Berapa ramai di kalangan orang PAS yang memegang jawatan dalam peringkat kementerian, turut merangka dasar, adakah mereka boleh dituduh mengukuhkan kepimpinan Najib. Tentunya tidak.

Mungkin ada yang menjawab, ini analogi yang tidak betul. Yang betulnya apa?

Yang betulnya kerana memang aku tidak suka individu dalam PAS. Buatlah macam mana pun aku tidak setuju.

Kalau orang yang aku setuju, hendak bekerjasama dengan Umno dan Tan Sri Muhyiddin pun tidak mengapa kononnya atas alasan selamatkan Malaysia.

Hendak buat konsensus nasional pun tidak mengapa. Kalau pimpinan PAS terus dikatakan PAS sudah hendak ber-UG (kerajaan perpaduan). Ini masalah hati, bukan masalah politik.

*  IDRIS AHMAD naib presiden PAS.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.