HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Februari 2016

Culas buat pemeriksaan punca kesihatan Kazim terganggu

Culas buat pemeriksaan punca kesihatan Kazim terganggu
Mohd Najmuddin menunjukkan gambar terbaharu Ustaz Kazim pada sidang media, hari ini. - Foto Sinar Harian


IPOH -  Culas menjalani pemeriksaan berkala, menjadi punca kesihatan pendakwah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias terjejas, hingga terpaksa dikejarkan ke hospital, Jumaat lepas.

Perkara itu didedahkan abangnya, Datuk Mohd Najmuddin yang memaklumkan, adiknya itu sering gagal memenuhi jadual pemeriksaan kesihatan atas tuntutannya sebagai penceramah.

Menurutnya, seminggu sebelum kejadian, Mohd Kazim yang menghidap penyakit kencing manis sejak 10 tahun lalu, sepatutnya perlu menjalani pemeriksaan di hospital, namun tidak melakukannya kerana perlu ke Sabah.

“Dah banyak kali sebenarnya dia terlepas temujanji doktor. Mungkin kerana komitmen kerja dan tuntutan ceramah yang memerlukannya bergerak ke sana sini.

“Sebelum ke Sabah, dia sebenarnya dah rasa simptom awal sakit, tapi sebab nak penuhi jemputan ceramah di sana, dia lepaskan temujanji dengan doktor.

"Sebab itulah ketika ceramah di Bachok, Kelantan, tiba-tiba diserang sakit jantung,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini, mereka malah Ustaz Kazim sendiri tidak mengetahui dirinya mempunyai masalah kesihatan berkaitan jantung.

Katanya, serangan jantung di Kelantan minggu lalu, adalah yang pertama berlaku sepanjang perjalanan Ustaz Kazim sebagai penceramah.

“Yang kami tahu, dia ada kencing manis, jantung tak pernah, bila ada kencing manis ni kena check up 3 atau 6 bulan sekali, tapi dah banyak kali dia skip,” katanya.

Mohd Kazim, 44, selamat menjalani prosedur angiogram bagi memulihkan tiga saluran arteri yang tersumbat, masing-masing satu di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian dan dua di Hospital Pakar Ipoh (KPJ).

Beliau kini stabil meskipun dilaporkan lemah akibat demam.

Mewakili ahli keluarga, Mohd Najmuddin mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan dan doktor HUSM serta KPJ yang memberikan rawatan terbaik.

"Tidak lupa juga atas doa serta sokongan semua pihak yang mahu melihat adik saya pulih," katanya lagi.


Tiada ulasan: