Halaman

Selasa, 16 Februari 2016

Ganti pekerja Bangladesh dengan pendatang asing di Sabah

LANGKAWI 11 May 2015.Anggota Polis  memberi roti kepada pendatang asing tanpa izin(PATI)warga Bangladesh dan Myanmar yang ditahan selepas mendarat di Pantai Pasir Berdengung.NSTP/Amran Hamid

Oleh Hafiz Zainuddin


KOTA KINABALU, : Lebih baik Kerajaan Persekutuan mengambil 1.2 juta pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Sabah daripada membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh ke negara ini.

Ia berikutan tindakan sedemikian dapat menyelesaikan isu PATI negeri itu yang berleluasa  sejak sekian lama dengan kadar pengangguran dan kemiskinan yang tinggi di negeri itu.

Apatah lagi, Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt, berkata pekerja Bangladesh tidak memahami budaya tempatan, berbeza dengan pendatang asing di Sabah yang lama menetap di negara ini, malah boleh bertutur bahasa Malaysia. 

“Mereka (PATI di Sabah) lebih memahami budaya kita dan boleh berbahasa Malaysia. Mereka boleh mengisi peluang pekerjaan dalam sektor kritikal yang diperlukan khususnya di Semenanjung Malaysia,” katanya pada kenyataan media, baru-baru ini.

Untuk melaksanakannya, Stephen berkata, yang diperlukan kerajaan adalah mekanisme konkrit menguruskan dokumentasi dan permit kerja kepada PATI di Sabah sekaligus membantu mengatasi masalah mereka.

Meskipun demikian, beliau menegaskan cadangan DAP Sabah itu bukan bermaksud untuk  membelakangkan pendirian parti yang selama ini bertegas terhadap isu pekerja asing.

“Kita tetap bertegas bahawa rakyat tempatan harus diberi penekanan kepada latihan dan pembangunan sumber manusia yang berkualiti menuju negara berpendapatan tinggi.

“DAP sentiasa konsisten dengan pendirian kita terhadap pekerja asing, bagaimanapun disebabkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkeras mahu membawa pekerja dari Bangladesh, jadi kita cadangkan bagaimana jika kerajaan mengambil 1.2 juta PATI dari Sabah sahaja,” katanya.

Keputusan membawa masuk 1.5 juta pekerja asing Bangladesh menimbulkan bantahan pelbagai pihak berikutan bilangan PATI di negara ini, semakin membimbangkan khususnya dari segi perubahan populasi, keselamatan dan kesihatan. 

Mngikut statistik Kementerian Sumber Manusia pada 2014, seramai 6.7 juta pekerja asing berada di Malaysia dan hanya 2.1 juta memiliki permit kerja sah. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.