ALTRUISME adalah komoditi mahal dalam tindak-tanduk manusia, lagi-lagilah bagi manusia dalam arena politik.
Segala-galanya dengan tujuan dan matlamat tersurat dan tersirat. Keikhlasan dan kebetulan lebih kerap di bibir saja.
Dalam konteks politik negara
kita, tujuan pembangkang adalah menang pilihan raya umum (PRU) dan memerintah
negara. Mereka hampir-hampir berjaya dalam PRU 2013.
Logiknya, dengan skandal demi
skandal dan masalah demi masalah yang melanda negara di bawah pengemudi (Datuk
Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib bin Abdul Razak, pembangkang hanya perlu mengeksploitasi kelemahan
pemerintahan Umno-Barisan Nasional.
Mereka hanya perlu membiarkan
Mohd Najib dan para pesekongkol beliau dalam Umno-BN dan pentadbiran awam terus
dengan skandal, kesilapan, pembohongan dan penafian.
Biarkan mereka menggali kubur
yang sedalam-dalamnya dan apabila tiba PRU, timbus mereka dalam kebencian dan
penolakan pengundi.
Tetapi apa yang kita perhatikan
tidak seperti itu.
Sebaliknya mereka mahu Mohd
Najib berundur dan, untuk tujuan itu, sedia berpakat dengan elemen Umno-BN yang
berpandangan serupa.
Mereka mahu menyelamatkan
Malaysia dan rakyat jelatanya sebelum terlambat. Mereka berpendapat menunggu
sehingga PRU mungkin terlalu lama dan Malaysia tidak dapat diselamatkan lagi
selepas itu walaupun mereka menang.
Gerakan Massa Selamatkan Malaysia
Saya telah menyebut mengenai perlunya dijanakan segera gerakan massa (mass movement) yang merentasi sempadan politik, ideologi, agama, bangsa dan wilayah bagi menyelamatkan Malaysia.
Kita tidak lagi boleh bergantung
kepada politik kepartian, apatah lagi politik pemakan dedak yang telah melanda
Umno-BN, untuk kembali menyatukan rakyat jelata dan mengembalikan keyakinan
dunia terhadap Malaysia.
Paling besar harapan kita kepada
Umno-BN adalah masih ada beberapa kerat Ahli Dewan Rakyatnya yang ada harga
diri, berhati kecil dan punyai rasa bersalah (conscience).
Saya tahu yang mereka tahu
bahawa mereka tidak lagi mewakili rakyat jelata. Malah mereka tidak pun
mewakili ahli Umno-BN lagi. Mereka hanya mewakili Mohd Najib dan kelompok
eksklusif beliau.
Umum tahu bahawa ada usaha yang
berkisar di sekitar Tengku Razaleigh Hamzah untuk menggantikan Perdana Menteri
melalui “undi” tidak percaya. Gerakan ini dipercayai mendapat sokongan luas
Ahli Dewan Rakyat pembangkang dan segelintir Umno-BN.
Kita pun sudah tahu yang
majoriti Raja-raja Melayu tidak lagi berdiam diri melihat kehidupan rakyat
jelata semakin hari semakin terdesak dan imej negara menjadi bahan persendaan
dunia.
Yang kita perlukan sekarang
adalah bagi setiap orang yang peduli dan sayangkan negara bangun secara aman
dan sivil menyatakan bahawa perubahan wajib berlaku dan berlaku segera.
Setiap orang yang berwajah,
dikenali dan dihormati tanpa mengira usia dan jantina, kerjaya dan kepakaran,
bangsa dan agama wajib memberanikan diri berdiri dalam satu barisan
penyelamatan negara.
Bagi yang berasa mereka
berkuasa, kuat dan terlindung, ingatlah kuasa tidak akan kekal selama-lamanya.
Bukan Perdana Menteri seorang saja akan dipertanggungjawabkan apabila “the
chips are down”.
Semua yang bersubahat, bersekongkol dan makan dedak akan diseret bersama.
Semua yang bersubahat, bersekongkol dan makan dedak akan diseret bersama.
Wallahuaklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.