HALAMAN SANTAI

Khamis, 18 Februari 2016

Jakim tiada kuasa larang penggunaan logo 'free pork'

Tiada Babi
Gambar hiasan.


IPOH - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak mempunyai kuasa untuk melarang penggunaan  logo 'free pork' di premis makanan.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, sebarang penguatkuasaan terhadap isu itu dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Menurutnya, bagaimanapun pihak Jakim dan pihak berkuasa agama negeri akan membantu serta memberikan kerjasama kepada KPDNKK untuk menjalankan penguatkuasaan.

"Memang ada jawatankuasa antara Jakim dan KPDNKK. Bukan sahaja di peringkat pusat malah jawatankuasa itu juga ada di peringkat negeri.

"Cuma Jakim tidak boleh ambil sebarang tindakan kerana semuanya di bawah KPDNKK," katanya kepada media sempena Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Amanjaya, di sini, hari ini.

Othman berkata, dalam isu logo 'free pork' itu, mungkin makanan yang dijual di premis berkenaan tidak menggunakan babi dan ditujukan khusus untuk orang bukan Islam yang tidak makan haiwan tersebut.

Katanya, berlainan dengan logo dan sijil Halal yang dikeluarkan Jakim mahupun Jabatan Agama Islam Negeri, bukan sahaja tiada babi tetapi penyediaan makanan itu mematuhi hukum syarak seperti sembelihan dan sebagainya.

"Bagi orang Islam lebih baik tengok sijil halal (sebelum makan di premis tertentu) sebab ia sudah tentu meyakinkan. Ia terpulang kepada individu itu sendiri.

"Bukan semua kedai yang tiada sijil halal itu haram, malah kalau kita yakin kedai itu halal tak jadi masalah. Cuma logo dan sijil halal ini memudahkan kita orang Islam untuk buat pilihan," katanya.


Tiada ulasan: