Halaman

Sabtu, 20 Februari 2016

JPJ nafi akan kenakan denda RM2,000 bagi kesalahan cermin gelap

THE MALAYSIAN INSIDER



Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini menafikan kenyataan dilaporkan media pada Khamis lepas berkaitan denda RM2,000 yang akan dikenakan bagi kesalahan penggunaan cermin gelap melebihi had. 
 
Ketua Pengarahnya Datuk Seri Ismail Ahmad berkata sebaliknya kompaun maksimum yang dikenakan oleh JPJ bagi kesalahan berkenaan adalah sebanyak RM300.

Katanya, JPJ menerima maklum balas negatif daripada orang ramai yang tidak berpuas hati kerana pihaknya akan mengenakan denda yang begitu tinggi dan mahu mengaut keuntungan.

"Saya ingin tegaskan terdapat kekeliruan pemahaman dan laporan media (The Sun) tentang perkara ini yang turut memetik kenyataan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai. 
 
"Denda sehingga RM2,000 atau enam bulan penjara seperti yang dilaporkan itu adalah bagi undang-undang mahkamah terhadap pemilik atau pemandu kenderaan yang tidak mematuhi peraturan trafik bagi kesalahan pertama," katanya kepada pemberita pada Program Jom JPJ Negeri Perlis 2016 di pasar raya di Kangar.

Ismail berkata JPJ bertoleransi dalam mengenakan kompaun bagi kesalahan penggunaan cermin gelap dan pemanduan melebihi had laju serta mempertimbangkan kadar perbezaan sebanyak 10% bagi setiap had yang ditetapkan.

"Misalnya untuk penggunaan cermin gelap, ditetapkan kadar ketelusan cahaya nampak (VLT) untuk cermin sisi dan belakang ialah sebanyak 30%, tetapi jika pemilik kereta menggunakannya pada kadar melebihi 35% sehingga 40% kompaun masih tidak dikenakan.

"Begitu juga dengan kadar had laju, jika ditetapkan 110km/j tetapi pemanduan dilakukan antara 115km/j dan 120km/j masih belum dikenakan saman," katanya.

Ismail berkata justeru orang ramai yang mempunyai masalah atau kekeliruan berkaitan penguatkuasaan peraturan JPJ boleh mendapatkan penjelasan di mana-mana kaunter JPJ.

"Sebab itu kita adakan program Jom JPJ ini di seluruh negeri. Kita buat di kawasan tumpuan orang ramai untuk memberi perkhidmatan bagi membantu orang ramai mudah menyelesaikan apa-apa masalah berkaitan JPJ," katanya.

Jom JPJ turut memberi kemudahan kepada orang ramai untuk berurusan dengan lain-lain agensi seperti Jabatan Kesihatan, Pos Malaysia dan Tabung Haji kerana dijalankan melalui strategi lautan biru kebangsaan (NBOS) bagi mempertingkat tahap perkhidmatan kepada masyarakat. – Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.