HALAMAN SANTAI

Rabu, 17 Februari 2016

Kompaun Tidak Selesai Masalah



Oleh NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED


CADANGAN Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menaikkan kadar kompaun kesalahan trafik mula mengundang pelbagai reaksi baik dalam kalangan pakar, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun orang awam sendiri. Walaupun cadangan ini belum muktamad, namun secara umumnya ada yang setuju dan ada juga yang berpandangan kurang bersetuju dengan cadangan tersebut. 

Mengikut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, cadang­an itu timbul ekoran sikap pesalah lalu lintas yang masih terus me­langgar undang-undang walaupun telah beberapa kali disaman dan membayar kompaun. Contohnya, Op Selamat 8 baru-baru ini masih merekodkan jumlah saman dan kes kemalangan yang banyak dengan 140,000 saman telah dikeluarkan dalam tempoh 10 hari Op Selamat Tahun Baharu Cina.

Secara jujurnya kita bersetuju dengan pandangan pihak polis tentang pemandu kita yang masih degil dan terus melakukan pelbagai kesalahan trafik sehingga boleh mengancam keselamatan diri serta nyawa pengguna jalan raya yang lain. Kita juga hargai segala inisiatif dan usaha pihak berkuasa termasuk polis yang selama ini cuba sedaya upaya untuk mendidik pengguna jalan raya bagi mengurangkan kadar kemalangan terutamanya yang membawa maut.

Namun hakikatnya kemalangan maut terus berlaku malah menca­tatkan kadar peningkatan yang me­risaukan. Justeru timbul persoalan apakah dengan menaikkan kadar kompaun kita dapat menyelesaikan dan mengatasi masalah pokok iaitu sikap pemandu sekali gus mengurangkan kadar kemalangan?

Sekali lagi secara jujurnya baik penulis mahupun kalangan pakar dan juga majoriti anggota masyarakat terpaksa mengatakan bahawa kenaikan kadar kompaun belum mampu menyelesaikan masalah pokok yang kita sedang hadapi. Hal ini kerana yang degil tetap akan terus degil dan sama ada membayar apa saja jumlah kompaun baharu yang dikenakan ataupun langsung tidak peduli dan tidak membayarnya.

Justeru penulis lebih berminat untuk mencadangkan kepada pihak berkuasa agar memberi perhatian dan fokus kepada isu pokok iaitu bagaimana untuk mendidik dan mengubah sikap pengguna jalan raya di negara ini.

Berdasarkan statistik yang di­bentangkan Trafik Pasukan Bukit Aman, baru-baru ini, daripada 6,193 kemalangan maut tahun lalu, sebanyak 1,713 kes atau 28 peratus adalah akibat terbabas sendiri di­ikuti 764 kes ‘makan jalan’ (14 peratus) dan 689 kes gagal memotong (11 peratus).

Malah kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) juga menunjukkan sebanyak 80.6 peratus kemalangan yang berlaku disebabkan oleh kesilapan manusia.

Jelas dalam hal ini sikap menjadi ‘musuh utama’ yang menyumbang kepada peningkatan kadar kemalangan di negara kita. Perlu diakui bahawa sikap amat sukar untuk diubah dan dibentuk dalam sekelip mata kerana zahirnya sebati dalam diri individu.

Sikap baran misalnya wujud sejak kita kecil lagi dan tidak boleh diubah dalam sekelip mata, apatah lagi hanya melalui kempen. Begitu juga sikap para pemandu seperti tidak bertanggungjawab, memen­tingkan diri, menunjuk-nunjuk, me­mandu melebihi had laju di­tetapkan, berlagak jaguh serta tidak mahu mengalah dan bertolak ansur.

Buatlah kajian sebanyak mana sekalipun inilah jawapannya. Inilah sikap majoriti pemandu kita yang terus menjadi duri dalam daging di atas jalan raya.

Justeru dalam konteks ini sudah semestinya kenaikan kadar kompaun tidak akan banyak membantu menyelesaikan masalah pokok yang kita hadapi. Mungkin sudah tiba masanya untuk kita menyemak dan menilai semula pendekatan dan kaedah yang kita guna pakai untuk mendidik pengguna selama ini. Secara ringkasnya kaji dan semak semula kempen-kempen ke­sedaran yang kita buat selama ini.

Hakikatnya sejauh mana kempen yang telah dilaksanakan selama ini memenuhi KPI yang telah ditetapkan? Kita sering didedahkan dengan pelbagai kempen keselamatan jalan raya namun kita jarang dimaklumkan KPI yang telah ditetapkan dan yang telah dicapai.

Perancangan yang teliti diperlukan supaya kempen ini dilaksanakan secara berfasa iaitu fasa jangka pendek dan juga fasa jangka panjang. Kita sedia maklum ada kempen yang kita boleh melihat dan menilai hasilnya dalam masa singkat dan ada juga yang memerlukan jangka masa panjang untuk dituai hasilnya.

Apa yang penting ialah fasa pelaksanaan efektif dan efisien supaya dapat memberikan hasil yang terbaik.
 Kempen ini juga tidak boleh dilaksanakan secara bermusim misalnya hanya ketika musim perayaan.
Realitinya pemandu kita perlu sentiasa ‘diketuk’, diingatkan dan disedarkan kesan serta akibat daripada sikap mereka yang boleh menjadikan jalan raya sebagai pusara tidak bertanda.

Kaedah kempen perlu berubah. Kita tidak boleh bergantung harap kepada iklan-iklan di televisyen, radio dan akhbar semata-mata memandangkan generasi hari ini lebih terarah kepada media sosial seperti Facebook dan Twitter. Maka strategi kempen kita juga perlu berubah mengikut arus pemodenan dan keperluan semasa. Mesej yang hendak disampaikan perlulah ringkas, kreatif dan mudah difahami oleh pengguna.

Biar apa yang kita buat itu melekat dalam hati dan pemikiran ge­nerasi muda.

Untuk jangka masa panjang pula, usaha mengubah sikap pemandu perlu fokus kepada kumpulan sasar yang betul. Misalnya golongan pelajar sekolah wajar dijadikan sampel kajian jangka panjang. Terapkan budaya pemanduan yang berhemah dalam kalangan anak muda sejak di bangku sekolah lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Percayalah didikan secara hukuman terutamanya dalam bentuk kewangan bukanlah satu pendekatan yang mampu menyelesaikan masalah sikap pengguna jalan raya dalam jangka masa panjang. Tambahan pula kenaikan kadar saman dilihat kurang sesuai tatkala rakyat sedang menanggung beban kos sara hidup yang cukup tinggi.

Hakikatnya rakyat Malaysia yang terkenal dengan budi bahasa dan sopan santun menjelmakan perwatakan dan sikap yang sa­ngat berbeza di atas jalan raya dan perkara ini perlu ditangani dengan bijak dan berhemah.

*  PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia.

Tiada ulasan: