Halaman

Jumaat, 26 Februari 2016

PM longgok portal berita bersama 'tentera siber'

MALAYSIAKINI


LIHAT VIDEO DI SINI

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini membidas apa yang disifatkannya sebagai amalan tidak sihat kewartawanan dan melonggokkan portal berita bersama-sama dengan tentera siber dan hulubalang papan kekunci.

Katanya, kemajuan internet dan media sosial hari ini telah mengakibatkan banyak penyelewengan termasuk mengapi-apikan perkauman atau sikap tidak bertoleransi terhadap agama.

"Sudah berakhir, hari-hari yang kisah masyarakat ditentukan oleh kerajaan.

"Hulubalang papan kekunci, tentera siber dan juga portal berita telah menjadikan dunia dalam talian sebagai “taman permainan " mereka dengan membina versi sendiri 'realiti'yang memaparkan tajuk utama yang memikat bagi kepentingan agenda masing-masing.

"Ini satu amalan yang tidak sihat kewartawanan," kata beliau dalam blog hari ini.

Kenyataan Najib itu dibuat sehari selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyekat akses kepada portal berita The Malaysian Insider (TMI).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak hari ini mengesahkan bahawa antara sebab portal itu disekat adalah disebabkan oleh artikel mengenai Najib.

TMI pada 25 Februari lalu, menerbitkan artikel bertajuk “Cukup bukti dakwa Najib isu SRC International, kata panel SPRM” yang memetik seorang ahli panel penilaian operasi suruhanjaya berkenaan yang tidak dinamakan.

Bagaimanapun, pengerusi panel itu, Tan Sri Hamid Bugo dalam satu kenyataan malam semalam, menafikan pihaknya percaya terdapat bukti cukup untuk mendakwa Najib seperti yang dilaporkan.

Mengulas lanjut, Najib berkata pertarungan persepsi akan menjadi esuatu yang berterusan dengan internet menjadi ruang terbuka untuk rakyat menyuarakan pandangan mereka.

"Tetapi ia terpulang kepada kita untuk kekal setia kepada jalan kesederhanaan dan tidak terpedaya dengan agenda songsang oleh pengguna yang tidak bertanggungjawab.

“Pengguna internet perlu dapat membezakan kebenaran, separuh benar, pembohongan dan pendapat sebelum membentuk penilaian mereka sendiri.

“Kita mesti lebih berhati-hati semasa berkongsi maklumat di media sosial. Kita mesti terus menggunakan internet dan media sosial sebagai platform bagi menggalakkan perpaduan dan mengelakkannya daripada dirampas," kata Najib.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.