Halaman

Rabu, 17 Februari 2016

“Naik gaji pun tidak selesai isu pekerja asing”

 
Menaikkan kadar gaji minima dalam sektor tertentu bagi menarik warga tempatan tidak boleh dilaksanakan dengan begitu sahaja kerana melibatkan pelbagai pihak.





PUTRAJAYA: Tindakan menaikkan gaji pekerja di sektor swasta tidak akan menyelesaikan isu keperluan buruh asing secara keseluruhan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas soal kurangnya warga tempatan dalam sektor 3D (difficult, dirty, dangerous) ekoran gaji yang rendah.

“Kalau naikkan (gaji) pun, tetap tidak memuaskan hati (sesetengah) pekerja dari segi ‘take home pay’ selepas pemotongan KWSP dan PERKESO.

“Dari sisi lain pula, kita dapati kos menggaji pekerja tempatan memang sudah jauh lebih tinggi. Sebab itu syarikat lebih suka ambil warga asing, antaranya mereka tidak perlu bayar KWSP untuk pekerja,” katanya dalam sidang media hari ini.

Razali berkata, menaikkan kadar gaji gaji minima dalam sektor tertentu bagi menarik warga tempatan juga tidak boleh dilaksanakan dengan begitu sahaja kerana melibatkan pelbagai pihak.

“Gaji minima sudah pun ditetapkan. Lagipun (menaikkan gaji minima) melibatkan banyak perkara. Bukan pihak yang menerima sahaja, yang memberi pun ada pandangan,” katanya.

Beliau berkata, sukar untuk menyelesaikan isu ini kerana ketiga-tigak pihak iaitu kerajaan, majikan dan rakyat memiliki pandangan masing-masing.

“Masing-masing bergerak selari, tidak akan berjumpa titik temu,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.