HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Februari 2016

Pas gesa akta pekerja asing dikaji semula

 Mohd Khairuddin Aman Razali
Mohd Khairuddin Aman Razali


SHAH ALAM - Dewan Ulamak Pas Pusat hari ini menggesa kerajaan mengkaji semula dan menambahbaik undang-undang serta akta yang bersangkutan dengan pekerja asing.

Ketua Penerangannya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ia sebagai inisiatif untuk mengurangkan bilangan warga asing sedia ada di negara ini sama ada berstatus berdaftar atau tanpa izin.

‎"Ketidakcekapan kerajaan menguruskan maklumat berhubung keperluan tenaga kerja semasa menjadi salah satu faktor utama yang menyumbang kepada masalah ini.

“Pada masa ini, kebanyakan maklumat pasaran buruh adalah dikumpulkan oleh pelbagai agensi berdasarkan kepada keperluan masing-masing," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau dalam pada itu turut mendedahkan punca‎ kerajaan masih tidak dapat mengetahui jumlah sebenar pendatang asing di negara ini.

"Ketiadaan pangkalan data bersepadu bagi memantau dan mengawal keperluan tenaga buruh dalam pasaran industri menyebabkan bilangan golongan itu tidak dapat dipastikan berpadanan dengan keperluan bahkan menjadi lambakkan pula.

"Selain itu, ketiadaan dasar yang komprehensif dalam pengambilan pekerja asing dan pengambilan yang dibuat secara ‘adhoc’ juga memburukkan lagi keadaan berkaitan isu ini," katanya lagi.

Justeru itu, beliau menggesa kerajaan mengkaji semula dan menambahbaik undang-undang serta akta yang bersangkutan dengan pekerja asing.

"Sebagai contoh dengan mengehadkan serta menetapkan jumlah pekerja asing di dalam sesebuah industri dan sektor; ia dapat mengurangkan lambakan pekerja asing seperti yang terjadi sekarang serta dapat menjamin peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

"Kerajaan juga harus menggalakkan industri-industri terutamanya yang bergantung kepada buruh asing untuk mengambil anak-anak tempatan bekerja dengan memberi insentif-insentif tertentu sebagai galakan kepada mereka," ujarnya.


Tiada ulasan: