HALAMAN SANTAI

Ahad, 21 Februari 2016

Pasukan khas tangani Malaysia sebagai negara tua tahun 2030

FREE MALAYSIA TODAY
 
 
Masalah utama negara ialah kadar kesuburan menurun daripada 2.4 kepada 2.0 anak bagi setiap keluarga menjadikan Malaysia akan menjadi negara tua kelak.


nstitut Penyelidikan Penuaan Malaysia (IPPM)


JOHOR BAHRU: Penubuhan pasukan khas bagi menangani isu Malaysia yang bakal menjadi negara tua menjelang tahun 2030 bertujuan untuk membuat persediaan serta mempromosikan kesedaran dalam masyarakat mengenai penuaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun, berkata pasukan khas yang ditubuhkan pada Jumaat lepas telah mengadakan mesyuarat pertamanya dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan serta kementerian berkaitan.

“Mesyuarat itu bagi melihat perkembangan terkini kajian oleh Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (IPPM) untuk mengenal pasti isu dan strategi bagi mengatasi perkara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Gema Kasih Komuniti sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Rumah Seri Kenangan Johor Baharu, di sini, hari ini.

Malaysia dijangka mencapai status negara tua menjelang 2030 disebabkan kemerosotan kadar kesuburan dan purata jangka hayat rakyat Malaysia yang lebih panjang.

Chew berkata, pihaknya kini sedang mengumpul semua maklumat dan perkhidmatan yang disediakan pelbagai kementerian termasuk Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengangkutan, syarikat insurans dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau berkata, pengumpulan maklumat itu penting bagi mewujudkan satu sistem sokongan yang komprehensif bagi sokongan sosial, yang memerlukan seseorang individu itu perlu mempunyai kewangan secukupnya bagi menampung kehidupan sebelum memasuki usia 60 tahun.

“Ketika ini, masalah utama yang dihadapi negara ialah kadar kesuburan menurun daripada 2.4 kepada 2.0 anak bagi setiap keluarga. Perancangan keluarga bukan untuk mengurangkan anak, sebaliknya mereka boleh sahaja melahirkan ramai anak jika berkemampuan,” katanya.

Beliau berkata, kecenderungan wanita untuk bekerjaya dan merancang keluarga menjadi antara penyebab kadar kesuburan menurun.-BERNAMA

Tiada ulasan: