Halaman

Jumaat, 19 Februari 2016

Pekerja Bangladesh: IKHLAS dakwa Zahid mahu jatuhkan Najib

Shakira Buang


LIHAT VIDEO DI SINI
 
Tindakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertegas membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh didakwa bukti, antara usaha timbalan perdana menteri mahu menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak sekali gus merampas kerusi perdana menteri.

Dakwaan itu dibuat Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan kecil dan Sederhana (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah yang mengulas pemeteraian secara rasmi memorandum persefahaman (MoU) untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh ke Malaysia secara berperingkat oleh kedua-dua negara, semalam.

"IKHLAS lihat cita-cita beliau (Zahid) hampir tercapai, di mana IKHLAS lihat ada unsur-unsur mahu jatuhkan perdana menteri.

"Kerana beliau (Zahid) begitu lantang, ego dan berkeras. Tak mahu dengar suara rakyat, sedangkan rakyat yang mengundi beliau.

"Semalam perdana menteri ada mengeluarkan kenyataan akan runding dengan timbalannya bahawa 1.5 juta (pekerja Bangladesh) angka besar tetapi Zahid tetap juga menandatangani MOU itu semalam," katanya kepada pemberita hari ini, di hadapan Kedutaan Bangladesh, Kuala Lumpur.

Menurut laporan BDNews24.com, perjanjian itu - yang akan menyaksikan pekerja Bangladesh dibawa masuk berperingkat dalam tempoh tiga tahun akan datang - ditandatangani oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot dan Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh Nurul Islam.

Mengulas lanjut, Mohd Ridzuan berkata menteri dalam negeri itu juga harus meletakkan jawatan sekali gus membatalkan perjanjian membawa masuk pekerja Bangladesh ke negara ini.

"Saya mohon PM demi kebaikan Umno-BN, jawatan menteri KDN berilah kepada orang lain. Saya rasa ramai lagi yang lebih layak untuk jawatan itu, sebab saya rasa tanggungjawab Zahid dah terlalu banyak dan mungkin beban kepada dia.

"Saya mohon kerajaan batalkan hasrat mahu bawa 1.5 juta pekerja Bangladesh ini," kata Ridzuan.

Menurutnya, tindakan membawa masuk pekerja Bangladesh ini hanya memburukan lagi kedudukan negara di mata rakyat.

"Perkara ini nama hanya mencemarkan nama baik kerajaan Umno-BN di mana majoriti rakyat tak setuju dengan pengambilan 1.5juta pekerja Bangladesh ini," katanya.

Malah, Mohd Ridzuan juga mahu kerajaan membatalkan program pemutihan Pendatang Tanpa Izin (PATI).

"Saya juga mohon PM batalkan program pemutihan parti, kerana ia tidak pernah berjaya," kata Ridzuan lagi.

IKHLAS adalah NGO pro-kerajaan tetapi sering bersuara atas alasan sesuatu isu yang disentuh itu menjejaskan majoriti.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot pada sidang media hari ini, bagaimanapun menyangkal dakwaan bahawa negara akan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh.

Katanya, persepsi itu adalah "tidak betul" dan angka 1.5 juta pekerja Bangladesh itu sebenarnya bilangan mereka yang telah mendaftar untuk bekerja di 139 negara seluruh dunia.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan reaksi timbalan perdana menteri itu berhubung dakwaan tersebut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.