Halaman

Jumaat, 19 Februari 2016

Pertempuran akhir & kuasa kertas hijau

Hishamuddin Rais

 


Ketika saya meggarap tulisan ini seramai 4,801 soldadu dan pegawai tentera Amerika telah gugur di Iraq. Di Afghanistan seramai 3,487 - soldadu dari pelbagai negara barat telah tewas. Setakat ini perbelanjan perang di Iraq dan Afghanistan ialah 1,667.133,934,508 dolar Amerika. Jumlah warga Irag yang mati dibunuh dalam perang Iraq ialah 1,455,590.

Maka dalam tulisan ini saya wajib menerangkan apa yang sebenarnya sedang berlaku dalam dunia hari ini. Dunia kelihatan kacau bilau. Perang di sana sini. Dalam masa yang sama ekonomi dunia semakin mengecut. Ramai hilang pekerjaan. Kilang banyak ditutup. Bank jatuh muflis. Orang ramai - kaum buruh, kaum pekerja dan kaum tani makin terdesak kehidupan.

Dalam masa yang sama 66 sosok bersama ratusan CEO bank, tuan-tuan empunya kilang, tuan empunya syarikat, tuan empunya tanah, tuan empunya saham - terus meraih keuntungan berlipat ganda dan menjadi kaya raya.

Saban hari kita terbaca atau menonton berita tentang ekonomi dan perang - kacau dan bilau yang sedang berlaku dimerata tempat dalam dunia. Di Asia, di Afrika dan di Latin Amerika - suasana terus tegang. Pembunuhan, letupan, penyuludupan terus berlaku.
Sebenarnya semua ini kait berkait dan ikat berikat.

Mari kita ingati kembali dasar PNAC - Projects for the New American Century. Lembaga NGO yang ditubuhkan pada 1997 ini telah melakarkan beberapa dasar. Sosok-sosok dan pemikir dalam PNAC ini berfahaman kanan - neo-konservatif. Mereka terdiri dari profesor, intelektual dan pemikir garis kanan yang amat diyakini oleh kaum pemodal justeru fikrah mereka dilanggan oleh Rumah Putih.

Dasar-dasar PNAC ini muncul sesudah secara resmi tamat Perang Dingin. Amerika sesudah Perang Dingin dilihat unggul. Amerika tidak ada saingan apabila Blok Sosialis Rusia runtuh.

Hagemoni Amerika

Induk dasar PNAC ini ialah hegemoni Amerika. Hegemoni bermakna kuasa mutlak. Hegemoni Amerika bermakna kuasa mutlak dibawah imperialis Amerika. PNAC juga melakar bahawa Amerika Syarikat tidak akan membenarkan mana-mana kuasa, mana mana negara dalam dunia ini muncul atau berkeupayaan untuk bersaing atau berkeupayaan menandingi kuasa hegemoni empayar Amerika.

Inilah dasar dunia yang kita duduki hari ini. Ini adalah realiti dan budaya politik dalam semua negara yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis. Negara dunia kapitalis wajib tunduk di bawah hegemoni Amerika.

Apakah ada pembaca yang tidak percaya dengan apa yang saya tulis ini? Saya dapat membuktikan hujah saya ini dengan senang.

Dalam dunia hari ini semua jual beli dalam pasaran dunia wajib menggunakan kertas hijau yang dipanggil dolar Amerika. Semua jual beli bahan bakar petrolium dalam dunia ini wajib menggunakan dolar.

Sayugia diingatkan bahawa dolar ini hanya kertas hijau yang tidak ada apa-apa sandaran. Tidak bersandarkan emas atau perak. Dolar hari ini dipanggil duit FIAT.

Fiat ini bermakna duit yang dipaksakan nilainya ke atas kita. Duit bersandarkan emas telah dilupuskan pada tahun 1971 oleh Presiden Nixon.

Justeru Malaysia mengekpot minyak sawit untuk mendapatkan dolar. Petronas jual minyak untuk mendapatkan dolar. Jika kita tidak ada dolar kita tidak boleh beli apa-apa. Tanpa dolar Rosmah tak dapat beli beg Birkin. Najib tak dapat beli kapal terbang Boeing baru. Razak Baginda tak dapat beli kapal selam Scorpene. Semua perlukan dolar.

Cara dapatkan dolar

Kita berniaga jual barang kepada Amerika. Amerika bayar kita dengan dolar. Kita jual minyak sawit kepada Belgium atau Belanda - mereka bayar kita dengan dolar. Belgium dan Belanda jual keju dan beer kepada Amerika - mereka dapat dolar.

Dalam sistem ekonomi kapitalis hari ini dolar diwajibkan sebagai tukaran jual beli.

Lalu persoalan timbul - apa kerja yang dibuat oleh Amerika? Sebenarnya Amerika hanya mencetak kertas hijau yang dipanggil dolar. Ini ekspot terbesar dan bisnes utama Amerika ketika ini - selain dari jual senjata dan filem dari Holywood. Amerika menjual kertas hijau yang dipanggil dolar.

Kerja jual dolar ini dilakukan oleh Federal Reserve - sebuah bank swasta - yang pemiliknya dirahsiakan. Federal Reserve ini mencetak dolar . Dolar ini dipinjamkan kepada kerajaan Amerika.

Bila kita terbaca Amerika berhutang - ini bermakna Amerika berhutang dengan Federal Reserve. Yang mengawal nilai naik turun dolar - yang mengawal bunga pinjaman dolar ialah Federal Reserve. Jangan salah anggap Federal Reserve bukan bank negara Amerika. Ini bank swasta yang telah diberi kuasa untuk mencetak dolar.

Mustahil pekara sebodoh ini berlaku. Mustahil tidak ada pemimpin negara di Asia, Afrika dan Latin Amerika tahu hal ini? Apakah dunia bodoh sangat dan tidak sedar hal ini. Mustahil?

Tetapi saya amat yakin Najib, Muhyiddin, Khairy, Sabri , Zahid dan menteri yang lain pasti tidak ada keupayaan fikrah untuk berfikir sampai ke tahap Federal Reserve.

Pekara ini terlalu ‘high politk’ buat mereka. Mereka hanya ada keupayaan untuk berfikir ke tahap perniagaan Low Yatt, Pertama Kompleks atau meniaga di Aked Mara.

Tetapi saya amat yakin Mahathir Muhamad sedar dan faham tentang peranan Anglo-Zionis dalam hal Federal Reserve. Kerana pernah Mahathir mencadangkan Malaysia menggunakn dinar emas sendiri.

Ada juga pemimpin negara selain dari Mahathir yang faham hal ini. Saddam dari Iraq dan Gaddafi dari Libya faham tentang peranan dolar. Ini kerana negara mereka pengekspot petroleum yang banyak.

Sadam Hussein cuba menggunakan Euro - meninggalkan dolar dalam jual beli minyak. Hasilnya Saddam digantung mati. Gadaffi juga cuba menggunakan dinar emas dalam jual minyak. Hasilnya Gadaffi disula dan dia mati. Ini fakta sejarah.

Apa yang saya tulis di atas bertujuan untuk membuktikan kuasa hegemoni imperial Amerika. Ini untuk membuktikan kuasa dolar dibantu oleh kuasa bala tentera Amerika dan kuncu-kuncunya dalam NATO.

Seluruh dunia hari ini dipaksa menggunakan dolar jika mahu mengadakan jual beli dipasaran antarabangsa.

Dengan laras senapang Amerika boleh buat silap mata jual kertas hijau yang dipanggil dolar. Ini membuktikan bahawa kuasa muncul dari laras senapang

Laras senapang ini adalah 700 lebih pangkalan askar dan soldadu laut, darat dan udara Amerika berselirat di seluruh dunia. Amerika memiliki perjanjian dengan 191 buah negara ahli-ahli Bangsa Bersatu.

Semua negara ini tunduk di bawah kuasa hegemoni Amerika - termasuk Malaysia. Perjanjian baru ialah TPPA. Ini fakta bukan propaganda.
Mahu jatuhkan Najib, Rosmah

Tetiba muncul China, Rusia, Iran, India, Korea Utara, Cuba, Afrika Selatan dan Brazil. Mereka mula berpakat-pakat untuk meninggalkan dolar dalam semua urus niaga jual beli. Rusia menerima Yuan - mata wang China - apabila menjual minyak.

China menerima Ruble mata wang Rusia apabila membeli kapalterbang dari Rusia. India boleh meggunakan Rupee bila membeli dari China atau Brazil. Apa maknanya? Apa sedang berlaku?

Yang sedang terjadi ialah kemunculan negara-negara baru yang berani memecahkan hegemoni Amerika. Negara-negara ini berani keluar dari celah kangkang dolar. Negara-negara ini memiliki kekuatan ekonomi dan teknologi sendiri. Mereka mahu berdiri bebas dari dikawal dan dikontrol oleh Amerika.

Tidak cukup dengan meninggalkan dolar negara-negara ini membuat perjanjian perniagaan sesama mereka. Maka muncul apa yang dipanggil negara BRIC - Brazil, Rusia, India dan China. Untuk memastikan negara mereka bebas dari hegemoni Amerika - China telah menubuhkan Asian Infrastructure Investment Bank. Bank ini jelas untuk menandingi Bank Dunia.

Tidak cukup dengan ini Rusia menubuhkan Eurasian Economic Union - perjanjian kerjasama ekonomi dengan negara-negara Eropah Timur.

Untuk memastikan negara-negara ini tidak terus diinjak-injak dan dibuli oleh Amerika didirikan lembaga Shanghai Cooperation Organisation (SCO). Lembaga SCO ini terdiri dari China, Rusia, Kazakhtan, Kargystan,Tajikstan dan Uzbekistan - termasuk Iran, India dan Pakistan. Ini perjanjian pertahanan. Perjanjian bersetiakawan sesama negara.

Dari ini jelas kita lihat bahawa dasar PNAC terang-terang telah dilanggar dan dibakul sampahkan oleh negara-negara SCO. Kelihatan tiga buah negara - Rusia, China dan Iran - sedang menjadi negara penting - mengemudi usaha untuk mematahkan hegemoni Amerika.

Apakah kaum neo-konservatif dan kaum kanan dan kaum pemodal di Amerika berdiam diri? Apakah kuasa imperial Amerika tidak bangun melawan?

Jawabnya adalah mustahil kuasa Zionis-Anglo-Amerika akan berdiam diri. Mustahil mereka tidak merancang. Mustahil mereka akan membenarkan harta dan kuasa mereka terlepas dari tangan mereka.

Keadaan ini sama seperti kedudukan Najib dan Rosmah sekarang. Najib dan Rosmah sedang dikepong.

Mustahil Najib dan Rosmah akan menyerah. Hasilnya - kacau bilau dan porak peranda politik dan ekonomi berlaku di Malaysia. Semua ini muncul kerana rakyat mahu menjatuhkan Najib dan Rosmah.

Ini sama saperti kacau bilau yang berlaku dalam dunia hari ini. Kacau bilau ini muncul kerana rakyat dunia mahu menjatuhkan kuasa imperilais Amerika. Rakyat dunia sedang bersedia menuju ke pertempuran terakhir.

HISHAMUDDIN RAIS seorang manusia baru dengan roh yang bebas. Pendukung dan pengembang asal mazhab NGI (non-governmental individual). Dipengaruhi oleh fahaman Marxis jenis Groucho.
Lulusan dari sekolah pemulihan pemikiran politik seperti Melbourne Tellamarine Center, Bombay Arthur Road, Ayer Molek dan Dang Wangi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.