Halaman

Khamis, 25 Februari 2016

‘Saya tetap akan terjah,’ kata Azmin

Azmin Ali
Azmin Ali
 
 
SHAH ALAM – “Ya, saya masih buat dan teruskan program terjah sampai hari ini,” demikian jelas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung program Terjah yang dilakukan olehnya sebelum ini.

Menurutnya, program berkenaan bertujuan menyampaikan mesej kepimpinan pada kakitangan kerajaan negeri supaya turun ke padang dan bertemu dengan penduduk berbanding duduk di dalam pejabat.

“Dalam awal tahun ini sahaja, saya dah pergi ke Kajang dan baru-baru ini pula saya sempat pergi ke sekitar Subang seperti Kampung Melayu, Kampung Seri Aman dan Puchong.

“Minggu depan saya akan terjah pula beberapa kawasan sekitar Pandan dan Ampang untuk melihat situasi di sana,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, program masih diteruskan walaupun ia memerlukan sokongan semua pihak termasuk pimpinan dan masyarakat.

“Kita kena turun padang untuk jumpa dengan rakyat untuk lihat dan dengar masalah mereka, selepas itu barulah keputusan boleh dibuat.

“Perkara ini perlu dilakukan dan melibatkan dukungan semua pihak seperti pegawai daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Terjah adalah program drastik yang diperkenalkan Mohamed Azmin dan pimpinan kerajaan negeri yang bertujuan menyelesaikan beberapa isu getir di Selangor seperti masalah air, sampah dan denggi.

Program yang membawa pendekatan kepimpinan melalui teladan ini diaktifkan beliau sejak memegang jawatan menteri besar pada 23 September 2014.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.