KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin cabang PKR mendakwa Menteri Besar, Datuk
Seri Mohamed Azmin Ali tidak telus dan tidak menghormati akar umbi
parti dalam pemilihan ahli majlis penguasa tempatan di negeri itu.
Setiausaha PKR Cabang Kelana Jaya, S Murali berkata pihaknya kesal
dengan tindakan Azmin yang, menurut beliau, 'pilih bulu' dan menidakkan
senarai calon Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dikemukakan
oleh cabang itu.
"Azmin tidak ikut apa yang diputuskan oleh kami ketika bermesyuarat.
Kami sudah buat keputusan dan beri cadangan kepada MB tapi beliau tidak
ambil nama-nama yang kami pilih.
"Mereka letak nama-nama yang mereka pilih dan minta kami luluskan. Kami
tidak berpuas hati apa yang dibuat oleh Azmin, tidak tahu kenapa beliau
bercakap tidak serupa bikin," ujar Murali.
Bukan itu sahaja, pemilihan Azmin terhadap kroninya itu tidak menepati kriteria yang ditetapkan selama ini.
"Dalam kriteria tersebut menetapkan kelayakan sekurang-kurangnya SPM.
Calon kami beri kelayakan Sarjana (Master), tetapi pihak mereka minta
kelayakan SPM.
"Kemudian kata keputusan Bahasa Melayu di dalam SPM tidak ada kredit.
Saya hairan, apabila kita beri sijil sarjana, mereka nak keputusan SPM.
Sedangkan orang yang mereka pilih itu tidak perlukan Diploma.
Bukan sahaja tahap pendidikan, kriteria yang memerlukan seseorang itu
menetap sekurang-kurangnya lima tahun di sesuatu kawasan itu juga tidak
dipatuhi Azmin dalam memilih ahli majlis.
"Salah seorang ahli majlis yang dipilih adalah seorang ahli daripada
SS2, yang bukan dari Cabang Kelana Jaya, yang kami sendiri tidak tahu
sejak bila menyertai Cabang Kelana Jaya, terus dipilih sebagai ahli
majlis," luahnya.
Turut hadir pada sidang media itu adalah Pengerusi Solidariti Anak Muda
Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin yang lazim mengkritik Azmin.
Badrul yang juga bekas Ketua Cabang PKR Rembau berkata sehingga kini
Azmin gagal menafikan segala dakwaan yang dibuatnya sebelum ini.
"Banyak teguran yang dilontarkan terhadap pentadbiran Selangor, tetapi
malangnya di bawah pimpinan Azmin terus dengan ego, malah tidak ubah
seperti kerajaan Umno-BN yang menganggap teguran sebagai musuh.
"Beliau juga pernah mencaci saya sebagai macai Umno di hadapan media," katanya.
Pentadbiran Azmin sebelum ini 'dicacatkan' dengan isu penubuhan entiti
pelaburan Darul Ehsan Investment Group (DEIG), dakwaan penyalahgunaan
wang zakat dan peruntukan RM9.8 juta bagi projek menaiktaraf pintu
gerbang Kota Darul Ehsan.
Bukan itu sahaja, tindakan Azmin meluluskan projek jajaran talian
penghantaran elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui kawasan hutan
simpan di negeri ini dan terbaru peruntukan RM32.4 juta untuk
menggantikan kubah masjid terbesar di Selangor mengundang pertikaian
ramai pihak di negeri ini.
"Kamu (Azmin) kritik Perdana Menteri, tapi kamu juga alasan yang sama, cuma jumlah sahaja berbeza.
"Azmin beri alasan teruk dalam isu menggantikan kubah masjid. Beliau
menjawab ia adalah untuk kepentingan agama Islam. Bagaimanapun alasan
beliau ditempelak oleh ahli agama di dalam PKR dengan menyifatkan ia
satu alasan tidak bertanggungjawab," tegas Chegubard.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.