KUALA LUMPUR: Tindakan The Wall Street Journal (WSJ) mengulangi tuduhan
terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung isu 1Malaysia Development
Berhad (1MDB) tidak lain hanya untuk merosakkan reputasi beliau.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata
beliau yakin WSJ bertindak berdasarkan agenda yang sudah ditetapkan bagi
memburukkan Perdana Menteri.
"Sudah tentu ada tujuan tertentu dan hanya mereka (WSJ) yang tahu.
Mereka ulang tuduhan tanpa fakta kukuh walaupun perkara itu sudah
diperjelas Peguam Negara dan kenyataan rasmi dikeluarkan 1MDB,"
katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen
Perumahan Penjawat Awam 2016 anjuran bersama CUEPACS dan ANGKASA di
sini, hari ini.
Ditanya mengenai tindakan terhadap WSJ, Ahmad Zahid yang juga Menteri
Dalam Negeri, berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada Kementerian
Komunikasi dan Multimedia untuk diteliti.
WSJ dalam pendedahan terbarunya mendakwa penyiasat antarabangsa
mendapati lebih USD1 bilion dimasukkan ke dalam akaun Najib yang
dipercayai datangnya daripada beberapa syarikat yang berkaitan 1MDB.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.