Mohamad Sabu. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
SELAYANG - Parti Amanah Negara (Amanah) sedia membentuk sebarang kerjasama bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, pihaknya sedia merancang program-program seperti roadshow, himpunan kesedaran dan kenyataan bersama dalam misi menyelamatkan negara bersama Mahathir.
Bagaimanapun ia masih dalam perbincangan dan keputusannya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
"Kami sedia bekerjasama (dengan Mahathir) dan semua pihak. Rancangan itu sedang dibincangkan dan kita akan umumkan nanti.
"Kalau Mahathir sudi bersama, kita boleh bekerjasama dalam sebarang bentuk program yang bertujuan menimbulkan kesedaran rakyat," katanya ketika sidang media di Wisma Amanah, di sini, hari ini.
Dalam sidang media semalam, Dr Mahathir mengumumkan untuk meninggalkan Umno buat kali kedua selepas meninggalkan parti itu pada Mei 2008, bagaimanapun menyertai semula pada tahun 2009.
Tindakan Mahathir meninggalkan Umno pada kali ini dibuat sebagai tanda protes terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Mahathir berkata, langkah itu diambil kerana parti itu bukan lagi seperti Umno dahulu, ia sebaliknya hanyalah sebuah parti penyokong Najib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.