Halaman

Khamis, 3 Mac 2016

Kekal dalam UMNO, bukti Muhyiddin percaya UMNO- Azalina

 
Kegagalan Muhyiddin menarik sokongan pimpinan parti susulan kritikannya terhadap Perdana Menteri didakwa antara punca beliau kekal dalam UMNO.





PETALING JAYA: Keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal dalam UMNO membuktikan bahawa hanya parti Melayu itu sahaja mampu membela rakyat.

Datuk Azalina Othman Said berkata demikian sekali gus mengakui keputusan itu dibuat susulan kegagalannya mendapat sokongan pemimpin parti di semua peringkat apabila secara lantang mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kekal berada dalam UMNO sudah diduga dan terbukti UMNO adalah wadah terbaik untuk perjuangan membela agama, bangsa dan negara.

“Kesilapan percaturan beliau sebelum ini telah membawa padah dan ternyata gagal mendapat sokongan daripada kepimpinan UMNO semua peringkat,” katanya yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO menerusi kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin menegaskan beliau tidak akan tinggalkan UMNO kerana parti itu tidak melakukan apa-apa kesalahan terhadap dirinya dan juga negara.

Sebaliknya, Muhyiddin menyatakan pihak yang bersalah adalah orang yang merosakkan UMNO dan disebabkan itu beliau masih kekal di dalam UMNO.

“Sebagai ahli beliau (Muhyiddin) perlu bertanggungjawab ke atas setiap tindakannya termasuk mematuhi tataetika serta disiplin dan tidak menjadi gunting dalam lipatan.

“Keputusan yang dibuat Majlis Tertinggi tidak mengira kedudukan dan jawatan dalam parti. Sesiapa sahaja yang menjadi ahli perlu akur dengan keputusan parti. Setiap ahli UMNO juga perlu setia kepada kepimpinan di samping berkhidmat kepada bangsa, agama dan tanah air,” tambah Azalina.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.