SHAH ALAM: Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Tan
Sri Abdul Aziz Abdul Rahman menyifatkan tindakan bekas Perdana Menteri
Tun Mahathir Mohamad keluar daripada Umno hanyalah taktik beliau untuk
meraih simpati masyarakat.
Jelasnya tindakan itu langsung tidak mengejutkan umum dan dilihat
sebagai agenda peribadi untuk menyingkirkan Presiden Umno Datuk Seri
Najib Razak.
"Ini satu lagi tragedi berulang yang membabitkan negarawan, pemimpin
yang pernah diangkat oleh Umno. Saya sangat sedih kerana negarawan yang
pernah disanjung Umno sanggup berbuat demikian untuk meraih simpati dan
sokongan dalam usaha beliau menyingkirkan Presiden parti sedia ada.
"Ini sudah tentu akan memudaratkan Umno terutama dalam pilihanraya umum akan datang," katanya.
Memetik laporan Berita Harian hari ini, Abdul Aziz mempertikaikan
tindakan Tun Mahathir yang dianggap sebagai tindakan tidak matang
walaupun pada dasarnya beliau masih sayangkan Umno.
"Memang ini satu ugutan seperti yang beliau pernah buat pada 2008 untuk
menyingkirkan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Sangat sedih kerana ia
dilakukan orang yang matang dalam politik tanah air sedangkan beliau
adalah negarawan yang disanjung ramai malah lebih peka dalam isu
berkaitan parti.
"Jika sayang kepada parti, bukan tindakan sebegini dibuat, lebih-lebih lagi untuk kali kedua," soal Abdul Aziz.
Mengulas lanjut, katanya tindakan itu sama sekali tidak akan memberi
kesan kepada kedudukan Umno kerana masih mendapat sokongan di peringkat
akar umbi.
"Taktik Dr Mahathir kali ini saya rasa tidak mendapat simpati ramai
kerana orang sudah jemu dengan apa yang beliau buat pada Umno dan Najib.
Impaknya tidak sama dengan tindakan pertama beliau keluar Umno dulu,"
katanya.
Jelasnya tindakan oleh Perdana Menteri keempat itu pastinya memberikan
kesan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihanraya Umum (PRU) akan
datang tetapi kesannya hanya minimum.
Namun ia tidak boleh dipandang remeh oleh jentera parti yang seharusnya memperkukuhkan usaha meingkatkan sokongan rakyat.
Atas dasar itu, Abdul Aziz menasihatkan parti itu agar membuat tinjauan
terkini mengenai kedudukan dan sokongan pengundi terhadap parti itu
yang kian dihimpit pelbagai isu melibatkan kepimpinan.
"Dalam parti, saya percaya Umno dalam kedudukan yang selesa kerana
bahagian masih percaya dengan kepimpinan (Datuk Seri) Najib, namun kita
tidak tahu dengan sokongan luar parti.
Tun Mahathir pada 29 Februari lalu mengumumkan beliau sekali lagi
keluar daripada Umno kerana dilaporkan tidak puas hati dengan parti.
Bekas perdana menteri dan bekas presiden Umno itu sebelum ini keluar
daripada parti berkenaan pada 19 Mei 2008 selepas hilang keyakinan
terhadap kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.