shahbudindotcom
Tanpa menunggu lebih lama setelah meninggalkan UMNO, Tun Mahathir Mohamad terus mengorak langkahnya dengan membentuk persefahaman dengan parti-parti pembangkang untuk menyingkirkan Najib Razak daripada kerusi Perdana Menteri.
Esok, jam
3.30 petang dan bertempat di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti
Malaya, Kuala Lumpur, bekas Perdana Menteri itu akan mengadakan sidang
akhbar bersama pemimpin-pemimpin pembangkang dan seterusnya akan
menandatangi deklarasi bersama untuk menuntut pengunduran Najib.
Selain pemimpin-pemimpin utama Pakatan Harapan dan beberapa wakil rakyat Pas yang akan turut hadir, yang lebih menarik ialah bila Nurul Izzah Anwar sendiri turut mengadakan sidang akhbar bagi mengalu-alukan program bersama Tun Mahathir itu.
"Ya, esok kami
akan mengadakan sidang akhbar bersama Tun Mahathir pada jam 3.30 petang
dan ia dilakukan dengan semangat keikhlasan untuk menyelesaikan kemelut
negara.
"Bukan
isu dendam, peribadi atau marah, tetapi bagaimana untuk merungkai
permasalahan dan skandal yang melanda Malaysia menerusi langkah-langkah
yang konkrit untuk menjalankan dan melaksanakan reformasi," tegas anak
sulung Anwar yang juga merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai.
Dengan
sedianya Nurul Izzah khususnya dan PKR amnya dalam menjalinkan
kerjasama dengan Tun Mahathir esok, ia sudah boleh dianggap leburnya
permusuhan antara Anwar dan keluarganya dengan bekas Perdana Menteri
selama 22 tahun itu.
Bermakna
Tun Mahathir dan Anwar sekarang sudah "sehati sejiwa" dan "selagu
seirama" dalam perjuangan menyingkirkan Najib yang dianggap beban dan
lebih "durjana" kepada negara.
Jika
dulu PKR ditubuhkan tidak lain untuk menjatuhkan Tun Mahathir, kini
kedua-duanya menampakkan sudah saling bekerjasama menjatuhkan Najib dan
menyelamatkan negara serta melupakan luka-luka lama mereka.
Walaupun
Anwar kini di dalam penjara, tentunya kesediaan Nurul Izzah dan PKR
menjalinkan persefahaman itu sudah pun mendapat restu daripada bekas
Timbalan Perdana Menteri itu sendiri.
Jika
gandingan Tun Mahathir dan Anwar dalam kerajaan dulu pernah dianggap
terbaik untuk negara, tidak mustahil bercantumnya kedua-dua mereka kali
ini, gelombang kebangkitan rakyat lebih bergelora untuk terus "memukul"
dan "membadai" Najib.
Lebih dari itu, walaupun keputusan Muhyiddin Yassin untuk terus bersama UMNO, ia juga tidak lagi memberi kelebihan kepada Najib memandangkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu turut menyatakan persetujuan untuk hadir dalam perhimpunan anti Najib pada 27 Mac nanti.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.