Timbalan
Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (empat, kiri)
merasmikan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron (tiga, kiri) dan
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri (dua,
kanan). - Foto Bernama
JASIN - Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dilayan secara profesional oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sekiranya beliau mahu mengemukakan aduan terhadap penggantungan tugasnya sebagai timbalan presiden Umno kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata ROS merupakan sebuah badan kerajaan yang ditadbir serta berjalan secara profesional dan semua individu termasuk pemimpin atau bekas pemimpin yang mengemukakan aduan akan dilayan secara profesional.
"Suatu keputusan akan ditafsirkan pendaftar pertubuhan (ROS) sendiri dan pegawainya untuk lihat kedudukan perkara sebenar terhadap hukuman oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno terhadap Muhyiddin.
"Saya ingin menjelaskan bahawa pendaftar pertubuhan tidak memihak sebarang aduan yang dibawa sama ada oleh pemimpin atau bekas pemimpin atau organisasi, semuanya dilayan dengan sebaiknya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai di sini, hari ini. Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.
Ditanya adakah beliau dapat menjamin keputusan diberi ROS terhadap Muhyiddin itu adil, Ahmad Zahid berkata walaupun mempunyai kuasa eksekutif sebagai Menteri Dalam Negeri, lazimnya beliau tidak akan campur tangan dalam keputusan operasi agensi di bawahnya seperti ROS.
"Lazimnya mana-mana keputusan dibuat ketua jabatan agensi KDN (Kementerian Dalam Negeri) kita beri kepercayaan sepenuhnya kepada pegawai itu membuat keputusan berdasarkan perkara termaktub dalam perlembagaan, ataupun undang-undang tubuh organisasi berdaftar," katanya.
Mengenai RTC Sungai Rambai, Timbalan Perdana Menteri berkata RTC memainkan peranan penting dalam menterjemah usaha kerajaan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
"Transformasi RTC yang diilhamkan sendiri Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) merupakan transformasi luar kotak agensi kerajaan untuk memberikan perkhidmatan yang lebih licin kepada rakyat.
"Saya sendiri akan memantau operasi RTC Sungai Rambai yang menempatkan 33 agensi kerajaan supaya ia memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat," katanya.
Beliau berkata mewujudkan RTC di bangunan projek yang diklasifikasikan sebagai 'gajah putih' adalah suatu usaha yang baik dan perlu dilakukan di seluruh negara.
Pembangunan RTC Sungai Rambai di bangunan Hentian dan Rawat Sungai Rambai Lebuhraya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) arah utara melibatkan kos sebanyak RM2.9 juta dan telah menarik lebih 80,000 pengunjung sejak mula dibuka 1 Disember tahun lepas. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.