Halaman

Selasa, 1 Mac 2016

Negara 'musnah' kerana pemimpin politik lalai

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pemimpin politik hari ini dilihat gagal meletakkan perpaduan dan kemajuan bangsa serta negara sebagai keutamaan akibat terlampau mementingkan perjuangan peribadi, demikian pendapat Prof Dr Mansor Mohd Nor.
 
Ketua Kluster Perpaduan Nasional itu berkata demikan mengulas tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad keluar dari Umno sebagai tanda protes terhadap kepimpinan presidennya, Datuk Seri Najib Razak, pada Isnin.
 
Tambah Mansor, mutakhir ini isu demi isu ditimbulkan namun tiada penyelesaian tuntas diambil hingga menyebabkan parti-parti yang terlibat goyah dan tidak fokus kepada usaha menabur bakti kepada rakyat.
 
"Semenjak zaman reformasi hingga ke hari ini, saya perhatikan masyarakat Melayu bukannya mahu membina negara atau kepentingan kita bersama. 
 
"Namun dilihat seperti mahu menghancurkan negara dan kepentingan bersama. Sebab kita tidak jumpa penyelesaian ke atas masalah yang kita hadapi dan gagal berbincang masalah. Akhirnya kita bertindak melahirkan serpihan demi serpihan dalam parti," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
 
Mahathir ketika mengumumkan dirinya keluar Umno beralasan Umno bukan lagi sebuah parti, sebaliknya kini 'diubah' untuk menjadi parti yang mempertahankan Najib sebagai presidennya.
 
Ini bukan kali pertama Mahathir mengumumkan keluar parti, kerana pernah berbuat demikian pada 2008 juga sebagai tanda protes terhadap pentadbiran Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
 
Minggu lalu juga senario politik negara tegang apabila Umno mengambil tindakan menggantung jawatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden Umno apabila gagal menjalankan tugas membantu Presiden dan parti.
 
Mansor, turut menyebut Pakatan Harapan (PH) yang padanya berdepan dengan perbalahan sesama parti komponennya.
 
Umum mengetahui hubungan DAP dan PKR berada keadaan tegang buat masa ini akibat tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memecat dua ADUN PKR daripada jawatan pengarah di dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Pulau Pinang.
 
Keputusan itu dibuat selepas dua ADUN itu tidak menyokong usul kerajaan negeri pada sidang DUN November lalu untuk menebus guna tanah pinggir laut, yang membuatkan Guan Eng berang.
 
Tindakan Guan Eng ditegur Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali yang kemudiaanya menambah burukkan lagi pergeseran antara PKR dan DAP.
 
Mengulas perkembangan itu, Mansor bertegas masyarakat Melayu adalah yang paling terkesan akibat perbalahan politik yang tidak berkesudahan ini.
 
"Politik bertujuan membangunkan sesuatu, membina kekuatan dan perpaduan serta kemajuan. Kalau begini, apakah matlamatnya? 
 
"Tidak kira parti politik mana pun, termasuklah dalam kes Umno, apabila berlakunya perpecahan, jika tidak boleh duduk berbincang cari penyelesaian dan mengikat kembali, mana-mana parti akan hancur," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.