SHAH ALAM: Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Ahmad Martadha Mohamed
berpendapat, Pakatan Harapan (PH) akan menggunakan apa cara saja untuk
menumbangkan kerajaan sedia ada walaupun terpaksa menggadaikan
prinsipnya sebelum ini.
"Pembangkang memang akan mencari apa juga cara kerana motif mereka mahu
menumbangkan Putrajaya (kerajaan). Walaupun dalam proses tersebut
mereka terpaksa untuk melupakan apa yang mereka lakukan sebelum ini.
"Misalnya kalau kita lihat mereka adalah pengkritik kuat kepada Tun Dr
Mahathir pada satu ketika dulu," katanya kepada Antarapos ketika
dihubungi tadi.
Beliau mengulas mengenai gerakan baru dalam menyingkirkan Perdana
Menteri yang bakal dibentuk oleh bekas pemimpin Umno, Tun Dr Mahathir
Mohamad dan PH dalam masa terdekat.
Rancangan Mahathir itu disambut baik oleh PH (DAP-PKR-PAN) dan dijangka
akan mewujudkan satu konsensus dengan semua pihak berkepentingan atas
alasan mahu menyelamatkan Malaysia asalkan berjaya menjatuhkan Datuk
Seri Najib Razak.
Susulan tindakan PH itu, kata Martadha, adalah tidak menghairankan
sekiranya PH menyatakan pendirian yang berbeza walaupun sebelum ini
mereka hebat mengkritik pentadbiran Mahathir.
"Namun pada hari ini Tun juga bersungguh-sungguh mahu menjatuhkan
perdana menteri, jadi pada mereka itu merupakan peluang yang
sangat-sangat baik untuk mereka bekerjasama.
"Jadi kita tahu pembangkang merupakan satu parti yang boleh dikatakan
sebagai peluang-peluang yang mereka boleh gunakan terutama untuk
menjatuhkan BN.
"Jadi sebab itu bagi saya apa yang dilakukan oleh pembangkang untuk
bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir bukanlah satu perkara yang
menghairankan," katanya.
Jelasnya lagi, sikap pemimpin pembangkang ini dapat dilihat jelas kepada beberapa peristiwa yang berlaku sebelum ini.
"Jadi kita pun tahu bahawa mana-mana pemimpin-pemimpin misalnya
pemimpin besar dalam Umno yang keluar daripada parti, seringkali mereka
menghulurkan salam perkenalan untuk individu atau pemimpin parti
tersebut untuk memperkuatkan parti mereka.
"Secara tidak langsung, ini memperkuatkan, mengukuhkan parti mereka.
Sementara itu, penganalisis politik, Profesor Madya Dr. Ahmad
Nizamuddin Sulaiman berkata, tindakan PH hanya untuk kepentingan parti
mereka dan tidak menolak ia memakan diri sekiranya gagal.
"Bahkan Perdana Menteri England pun pernah mengatakan dalam politik
tidak ada rakan yang kekal, tidak ada musuh yang kekal, yang kekal ialah
kepentingan tetapi dalam kes macam ini.
"Mereka dulu pernah jadi musuh tapi apabila ada kepentingan yang sama
ini, mereka boleh ubah serta-merta menjadi pakatan atau pun
bekerjasama," katanya.
Katanya lagi, tindakan itu turut menterjermahkan pendirian pembangkang
yang tidak konsisten, selain dilihat menangguk di air keruh.
"Kalau dulu mereka sokong gerakan dalam Umno, sekarang ini mereka
menyokong Tun (mahu) yang menentang PM. Tetapi apabila habis isunya
nanti, mungkin mereka pula akan bercakaran dalam isu lain pula nanti,
ini berkemungkinan.
"Mula-mula dulu Mahathir pun sudah bantah Najib lama, tetapi mereka
tidak begitu memberi sokongan kerana Mahathir membantah daripada dalam.
Tetapi sekarang ini apabila Tun sudah keluar daripada parti, di situ
macam ada nilai tambah kepada gerakan ini sebab Mahathir bukannya Umno,"
katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.