Halaman

Sabtu, 5 Mac 2016

Tindakan Dr M tidak cerminkan sikap negarawan, kata Hisham

BERNAMA




Tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bekerjasama dengan pembangkang untuk menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak langsung mencerminkan sifat-sifat seorang negarawan yang menghormati sistem demokrasi, cintakan perpaduan dan mementingkan kesejahteraan rakyat, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Katanya, Dr Mahathir serta beberapa pemimpin Umno yang lain seharusnya sedar tindakan itu bukan sahaja memberi kesan kepada perdana menteri, tetapi juga kepada parti, kerajaan dan negara.

"Di saat kita di saf kepimpinan sedang bertungkus-lumus memastikan ekonomi dan keselamatan awam dijamin demi kesejahteraan rakyat, Dr Mahathir, beberapa pemimpin Umno dan pihak pembangkang terlalu rakus dengan agenda menyingkirkan perdana menteri.

"Kestabilan yang selama ini menjadi tonggak kekuatan kita cuba dihakis semata-mata untuk menjayakan agenda politik penuh kebencian," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Hishammuddin menggulas tindakan Dr Mahathir mengetuai kumpulan lebih 50 orang - termasuk Lim Kit Siang daripada DAP dan Menteri Besar Selangor Datuk Mohamed Azmin Ali daripada PKR - dalam memeterai deklarasi menyokong penyingkiran Najib sebagai perdana menteri.

Penandatangan lain termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.

Hishammuddin juga berkata beliau tidak faham bagaimana Dr Mahathir serta beberapa pemimpin Umno yang terlibat boleh duduk semeja dengan pemimpin PKR, PAS, DAP, Amanah serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) lain semata-mata untuk menumbangkan perdana menteri.

"Lupakah mereka bahawa NGO-NGO inilah yang bermati-matian mahu menjatuhkan kerajaan sebelum ini melalui beberapa siri demonstrasi jalanan. Lupakah mereka bahawa pemimpin-pemimpin pembangkang inilah suatu ketika dahulu yang menggelarkan Dr Mahathir sebagai ‘Firaun’," katanya.

Hishammuddin turut menyifatkan tindakan sebilangan pemimpin Umno itu seolah-olah cuba mengambil alih peranan pembangkang untuk menumbangkan kerajaan yang sah ketika ini.

"Mereka harus menghormati sistem demokrasi yang kita junjung. Tindakan mereka hari ini jelas bertentangan dengan nilai dan prinsip perjuangan yang mereka pegang selama ini.

"Saya harap anggota-anggota Umno faham bahawa Dr Mahathir sudah keluar dari Umno dan kini mula bergabung dengan pembangkang, justeru tindak-tanduknya sudah pasti tidak lagi mengambil kira kepentingan Umno," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan dan perdana menteri yang dipilih oleh rakyat melalui proses demokratik adalah tidak wajar sama sekali.

"Ia perlu ditentang habis-habisan oleh pendokong perjuangan Umno dan Barisan Nasional," katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya kerajaan Malaysia dipilih setiap lima tahun sekali melalui proses pilihan raya yang demokratik dan bebas, dengan perdana menteri dilantik mewakili parti yang menang dalam pilihan raya dan mendapat sokongan majoriti di Parlimen.

"Tindakan Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta lain-lain bekas pemimpin Umno yang sanggup bersekongkol dan duduk semeja dengan Lim Kit Siang dan pimpinan DAP untuk menjatuhkan perdana menteri adalah amat dikesali dan tidak mungkin dapat diterima oleh mana-mana anggota Umno yang berfikiran waras," katanya

Zainal Abidin berkata Umno Pulau Pinang turut mengecam tindakan Muhyiddin dan Mukhriz kerana mereka tidak sepatutnya menyokong sebarang perancangan, gerakan, usaha atau deklarasi oleh mana-mana pihak untuk menyingkirkan perdana menteri.

"Umno Pulau Pinang akan terus memberi sokongan dan kepercayaan tidak berbelah bahagi kepada Najib untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai presiden Umno dan perdana menteri," katanya.

Beliau menjelaskan adalah menjadi tradisi semua anggota Umno untuk mempertahankan institusi presiden dan pemimpin negara, tidak kira siapa yang menduduki kedua-dua kerusi berkenaan.

"Sepanjang Dr Mahathir menjadi presiden Umno dan perdana menteri, itu jugalah yang dilakukan oleh anggota Umno iaitu mempertahankan institusi presidendan perdana menteri dari segala bentuk serangan luar dan dalam," katanya.- Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.