Gambar hiasan
KUALA LUMPUR - Seorang ahli Parlimen dari Sabah hari ini melahirkan kebimbangan berhubung penyalahgunaan dadah kerana dakwanya bahan terlarang itu lebih mudah diperoleh berbanding pisang goreng.
Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) berkata masalah penyalahgunaan dadah berlaku kerana ia mudah diperoleh dengan harga murah.
"Bekalan pasaran di Sabah, kalau ada RM10 sudah jadi penagih dadah...," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) (Pindaan) 2015 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Katanya bagi mencegah aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah, Kementerian Dalam Negeri perlu mengambil langkah pencegahan daripada pelbagai aspek termasuk penguatkuasaan.
"Kita juga perlu wujudkan satu pasukan elit yang boleh mengesan siapa sebenarnya pengedar nombor satu dadah dalam negara ini," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata pindaan akta itu yang antara lain bagi membolehkan pemberian elaun kepada saksi akan membantu mereka berani tampil ke mahkamah untuk memberi keterangan.
"Cadangan itu juga akan membantu saksi mengurangkan bebanan kos untuk hadir memberi keterangan selain menjadikan saksi rasa dihargai dan menaikkan semangat saksi untuk hadir memberi keterangan," katanya.
Ketika menggulungkan perbahasan RUU itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed menjelaskan bahawa pembayaran elaun kepada saksi bertujuan mengatasi keengganan saksi hadir ke mahkamah.
Dalam pada itu, katanya seramai 79 'kingpin' (raja dadah) ditahan bagi tempoh tiga tahun sejak 2013 di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan melibatkan nilai rampasan sebanyak RM173 juta.
Terdahulu, ketika membentangkan RUU itu, Nur Jazlan berkata pindaan RUU itu bagi memperkasakan lagi pelaksanaannya agar selari dengan senario semasa kegiatan pengedaran dadah di negara ini mahupun peringkat global.
"Pindaan terhadap akta berkenaan adalah satu usaha murni kerajaan untuk perangi najis dadah. Setelah 30 tahun akta ini berkuat kuasa melalui enam kali pelanjutan di dewan ini, maka adalah perlu akta ini diperkasa dengan beberapa penambahbaikan agar terus relevan dalam menangani jenayah dadah," katanya.
Antara perkara utama dalam RUU ini ialah memperuntukkan langkah membenarkan pegawai polis
berpangkat tidak rendah daripada Sarjan mengambil keterangan bagi membantu siasatan, membenarkan pendakwa raya hadir semasa siasatan serta membolehkan menteri menetapkan elaun dibayar kepada saksi dan mana-mana orang dikehendaki hadir.
RUU itu turut mencadangkan peruntukan menjadikan kesalahan bagi mana-mana orang atau saksi yang gagal hadir, enggan jawab soalan, atau tidak mengemukakan dokumen yang dikehendaki dikenakan hukuman penjara enam bulan atau denda sebanyak RM2,000 atau kedua-duanya.
Rang undang-undang itu kemudian diluluskan. Persidangan dewan bersambung esok. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.