PAS dan Parti Amanah Negara (AMANAH) sependapat bahawa derma yang diterima oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwa sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi untuk membangunkan Islam tidak digunakan untuk ke arah itu.
Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, sekiranya benar Najib menerima sumbangan seumpama itu, sudah tentu tidak ada lagi umat Islam yang miskin di negara ini.
Bagaimanapun, katanya yang berlaku adalah sebaliknya.
“Maksud saya didakwa untuk Islam tapi saya tak nampak orang Islam dapat manfaat. Tapi ini tidak berlaku.
“Tapi kalau betul Putera Saudi bagi RM2.6 bilion kepada perdana menteri untuk (bangunkan) Islam maka sudah tentu tidak ada umat Islam yang miskin di Malaysia. Semua ada rumah sendiri dan semua pelajar Islam akan dapat biasiswa,” katanya kepada Malaysiakini.
Sebelum ini media Australia mendedahkan surat yang mendakwa Najib kononnya menerima derma AS$375 juta daripada seorang putera Arab pada tahun 2011.
Sumbangan itu dikatakan adalah sebahagian daripada beberapa urusniaga yang Najib didakwa terima daripada putera Arab yang terdiri daripada bayaran AS$100 juta pada 1 Februari 2011 kepada AS$800 juta pada 1 Mac, 2013.
Sumbangan itu diberikan kepadanya sebagai penghargaan kepada Malaysia yang memperjuangkan agama Islam dan mengamalkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Mengulas isu yang sama, Penasihat Umum AMANAH Ahmad Awang berkata, beliau tidak melihat selepas Najib menerima dana itu, perkembangan umat Islam di negara ini semakin baik.
“Kalau Najib ada NGO sendiri pun yang wasatiyyah, kalau itulah umpamanya institusi di bawahnya untuk mengembangkan Islam, tak nampak apa pun,” katanya.
Malah Ahmad yang sebelum ini pernah menjawat jawatan Pengarah Pusat Islam turut mempertikaikan mengapa Najib memulangkan semula derma berkenaan sekiranya ia benar-benar mahu digunakan untuk memperkembangkan Islam.
“Soal dana yang diberikan oleh Arab Saudi itu terlalu mengelirukan kerana ia dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib tapi Najib pulangkan semula.
“Kalau nak guna untuk kembangkan Islam, kenapa Najib pulangkan semula?” soalnya.
Timbalan Pengerusi AMANAH, Salahuddin Ayub pula berkata, isu berkaitan derma yang diterima Najib hanya memburukkan lagi negara di mata dunia.
“Saya tak nampak begitu (umat Islam makin baik) , saya tak lihat perkembangan ‘outstanding’ setelah menerima dana itu dan apa yang telah dilakukan Najib hanya memburukkan lagi imej Malaysia,” katanya.
Salahuddin turut menggesa supaya Najib dan kerajaan Arab Saudi untuk mengeluarkan dokumen mengenai derma RM2.6 bilion itu kepada umum.
“Pastinya wang sebanyak itu ada dokumen. Kalau Najib dan Arab Saudi mahu bersihkan nama dia, mesti dedahkan dokumen itu,” katanya.
Sebelum ini Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata Najib telah mengembalikan semula sebahagian wang RM2.6 bilion yang diterimanya kepada keluarga diraja Arab Saudi.
Menurut Apandi, pada Ogos 2013, sejumlah wang AS$620 (RM2.03 bilion) telah dikembalikan kepada keluarga diraja Arab Saudi kerana dana tersebut tidak diguna pakai.
Bagaimanapun Apandi berkata, wang dana yang diberikan oleh keluarga diraja Arab Saudi itu adalah sumbangan peribadi kepada Najib.
Oleh yang demikian, tiada kesalahan jenayah yang dilakukan oleh Najib berhubung wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadinya itu serta pihak Peguam Negara mengarahkan SPRM supaya menutup kertas siasatan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.