Halaman

Selasa, 5 April 2016

Kes culik di Sabah: Pemimpin BN setuju sistem barter dikaji semula

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Beberapa anggota Parlimen menyokong agar kerajaan mengkaji semula perdagangan sistem barter antara Sabah dan Selatan Filipina jika benar aktiviti tersebut menjadi antara faktor yang membuka ruang kepada kejadian culik di perairan tersebut.
 
Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) berkata selain daripada telah berjalan ratusan tahun sistem ini menjadi pembuka ruang kegiatan jenayah termasuk penculikan.
 
"Sama ada perdagangan tukar barang ini sebahagian daripada punca mereka menculik, pihak berkuasa kena mengkaji kerana dilihat penculik tahu selok-belok lokasi, siapa mahu mereka culik tanpa dikesan pihak berkuasa," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen semalam.
 
Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sistem barter antara Sabah dan Selatan Filipina perlu dikaji semula dengan segera berikutan kes penculikan empat warga Malaysia pada Jumaat lepas di kawasan perairan Sabah.
 
Ahmad Zahid, berkata sistem barter itu juga dilihat hanya menguntungkan satu pihak sahaja dan tidak menguntungkan Malaysia dan turut melibatkan penyeludupan barang-barang subsidi dan menyebabkan ketirisan wang negara.
 
Bagaimanapun, Bung Mokhtar berkata, tujuan asal sistem barter iaitu untuk membantu masyarakat Islam di Mindanao tidak boleh diabaikan jika sistem tersebut dimansuhkan.
 
"Perlu dicari mekanisme lain supaya tidak timbul isu kita tidak membantu masyarakat Islam di sana (Filipina), jadi pelbagai sudut perlu diambil kira sebelum apa-apa keputusan dibuat mengenainya," katanya.
 
Sementara itu, Datuk Abdul Aziz Kaprawi (BN-Sri Gading) pula berkata segala kelemahan dalam sistem tersebut perlu diperbaiki mengikut keadaan semasa bagi mengelak sebarang aktiviti jenayah boleh berlaku khususnya di kawasan Sabah.
 
Beliau yang juga timbalan menteri pengangkutan berkata semua pihak berkepentingan perlu dipanggil bagi membincangkan sebarang perubahan garis panduan yang membawa kepada peraturan lebih ketat terhadap sistem tersebut.
 
"Satu penilaian semula perlu dibuat supaya sistem ini tidak boleh dijadikan tempat untuk kegiatan jenayah berleluasa," katanya.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.