Kerajaan tidak pernah mengabaikan tugas memastikan MARA bertambah baik dan kekal relevan.
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin meminta Nik Nazmi Nik Ahmad menjelaskan rancangan pembangkang untuk Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Ketua Angkatan Muda PKR itu sebelum ini menyatakan MARA akan menjadi lebih baik jika diurus Pakatan Harapan (PH).
“Dia (Nik Nazmi) kena spesifik kalau dia kata seperti itu. Apa yang akan lebih baik (kalau PH ambil alih MARA). Apa yang kerajaan buat sudah baik,” katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen, hari ini.
Terdahulu, Nik Nazmi membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang telah memberitahu para hadirin dalam majlis Sambutan Perdana 50 tahun MARA semalam bahawa agensi itu akan terkubur sekiranya UMNO tidak lagi memegang pemerintahan negara.
Najib berkata, kekuasaan UMNO selaku parti pemerintah amat penting bagi memastikan agensi itu terus hidup membantu orang Melayu dan Bumiputera di negara ini.
Mengulas lanjut, Khairy juga menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah mengabaikan tugas untuk terus memastikan MARA bertambah baik dan kekal relevan.
Menurutnya, MARA telah terbukti menjadi pengantara untuk membantu Bumiputera.
Bahkan, bukan sahaja dari segi pendidikan sebaliknya, turut membantu dalam aspek latihan dan juga bantuan perniagaan.
Semalam di Sambutan Perdana 50 tahun MARA, Najib menyenaraikan sebahagian daripada lima inisiatif MARA untuk tempoh 50 tahun akan datang yang bertujuan memperkasa orang Melayu dan Bumiputera.
Antaranya penubuhan MARA Corporation Berhad, mewujudkan Rural Capital Berhad, Universiti MARA (UniMARA) dan menggantikan Yayasan Pelajaran MARA dengan Yayasan MARA.
“Kita sentiasa menyokong MARA diperkukuhkan lagi terutama dari segi program-program keusahaanan dan program pendidikan,” tegas Khairy.
“MARA sudah membantu ramai Bumiputera saya pun dapat pinjaman dari MARA, saya bangga jadi produk MARA.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.