Sebelum memulakan sesi perbahasan rang undang-undang Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) (Pindaan) 2015, hari ini, speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menasihat ahli parlimen supaya tidak terlalu beremosi ketika berbahas.
Beliau memberi nasihat itu susulan kejadian yang menimpa Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin yang pengsan ketika persidangan petang semalam.
Sebelum itu, berlaku perdebatan hangat pemimpin AMANAH itu dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
“(Ahli Parlimen) Sepang telah jatuh sakit yang saya difahamkan ekoran daripada bertikam lidah dengan menteri yg berkenaan apabila berbahas rang undang-undang Akta Syarikat semalam.
“Tidak syak lagi saya difahamkan bahawa itu adalah ekoran daripada bertegang leher. Jadi saya serius dalam hal ini, hal semalam kita buat sebagai satu iktibar.
“Saya serius kerana sebelum saya menjawat jawatan ini pada 2008 saya tak ada hypertension atau sakit jantung, tetapi pada 2012 saya hadapi pembedahan,” katanya.
“Jangan sama sekali ikut emosi sehingga jatuh sakit tak boleh menjalan tugas, tidak baik untuk kita semua,” katanya sebelum memulakan sesi perbahasan.
Hanipa dikejarkan ke hospital selepas pengsan sewaktu persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan 15 minit petang semalam.
Beliau kini di bawah unit rawatan rapi neurologi Hospital Kuala Lumpur selepas selamat menjalani pembedahan malam semalam.
Difahamkan Hanipa mengalami pendarahan otak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan