Halaman

Khamis, 26 Mei 2016

Ada ‘anggukan’ Perdana Menteri baru boleh jadi'


Tan Sri Adam Kadir
Tan Sri Adam Kadir - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI
 
 
SHAH ALAM – Tidak dapat dinafikan kuasa seorang Perdana Menteri di negara ini memungkinkan sesuatu perkara itu berlaku atau sebaliknya.

Bekas Speaker Dewan Negara, Tan Sri Adam Kadir berkata, ‘anggukan’ kepala seorang Perdana Menteri itu menjadi sebagai lampu hijau kepada yang di bawahnya.

“Dengan satu perkataan, kita tidak boleh lari daripada Perdana Menteri. Itulah sebenarnya puncak kuasa.

“Saya percaya secara formal atau tidak, harus ada anggukan Perdana Menteri juga. Di situ perlu ada anggukan baru boleh berlaku sesuatu perkara. Kalau tidak, memang tidak boleh berlaku,” katanya pada Wacana Sinar Harian Siri ke-39 yang membawa tajuk ‘Siapa lebih berkuasa: Pentadbir atau ahli politik?’, di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, hari ini.

Sebelumnya moderator, Nazri Kahar bertanya kepada beliau tentang bagaimana merujuk kuasa politik itu sama ada melalui ketua cawangan, ketua bahagian, Adun, ahli parlimen, Kabinet atau Perdana Menteri itu sendiri.

Adam mengambil situasi bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor sebagai contoh sewaktu memegang jawatan tersebut.

“Macam Tan Sri Rahim sebut, beliau buat kerja tapi beliau tetap perlu mendapat lampu hijau daripada yang atas itu. Kebetulan Perdana Menteri ketika itu adalah Menteri Dalam Negeri (Tun Dr Mahathir Mohamad).

“Beliau (Rahim) bertugas tapi di belakangnya itu, apabila nak buat sesuatu, masih perlu mendapat lampu hijau. Selepas itu mungkin Perdana Menteri tidak campur tangan tetapi yang pertama mesti dapat anggukan daripada beliau. Kalau Perdana Menteri tidak kata ya, tidak akan berlaku,” katanya.

Tambahnya, “begitu juga di peringkat parti. Nak jadi wakil rakyat, mesti dapat tandatangan ketua parti. Adun, ahli parlimen pun perlu dapat surat tauliah daripada ketua parti.”


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.