MUAR: Mahkamah Tinggi semalam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati
terhadap seorang pencuci kereta setelah didapati bersalah membunuh
seorang warga emas, dua tahun lepas.
Pesuruhjaya Tinggi Kehakiman Muhammad Jamil Hussein menjatuhkan hukuman
itu terhadap Herman Mohd Amin, 33, setelah berpuas hati terhadap
pendakwaan yang berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Herman dituduh membunuh Eyu Ah See, 73, semasa cuba memecah masuk
kediaman mangsa di Jalan Pasar, Batu Pahat dengan niat untuk melakukan
rompakan pada 11 September 2014.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan
yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Jamil juga menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap tertuduh
setelah dia didapati bersalah mendatangkan kecederaan parah terhadap
seorang lelaki dalam kejadian sama.
Herman dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan
kecederaan parah terhadap Yeo Thian Gark, 63, di antara 9 hingga 9.30
pagi pada 11 September 2014 di alamat sama.
Dalam prosiding pendengaran keputusan kes itu hari ini, peguam bela
tertuduh S Vijayaretnam merayu kepada mahkamah agar meringankan hukuman
anak guamnya atas alasan Herman berbuat demikian kerana cuba
mempertahankan diri ketika diserang Eyu.
Namun, rayuan itu ditolak kerana pihak pendakwaan merasakan kesalahan
yang dilakukan tertuduh serius sehingga menyebabkan kehilangan satu
nyawa.
Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.